Carian
Oppo Find N5 Akan Tiba Pada Februari 2025
January 13, 2025 Amy Maizuraa

Penghujung tahun lalu kami berkongsi mengenai kewujudan telefon skrin boleh lipat Oppo Find N5 yang akan datang. Peranti itu ditemui muncul dalam pangkalan data SIRIM di Malaysia, dan kini Ketua Pegawai Eksekutif OnePlus, Pete Lau dilihat mendedahkan lebih banyak butiran mengenainya.

Pete Lau menyatakan bahawa peranti Find N5 akan menjadi telefon boleh lipat paling nipis di dunia. Imej dikongsi menunjukkan Find N5 dalam keadaan terbuka akan lebih nipis daripada sebatang pensil yang mungkin berukuran sekitar 4mm dan di bawah 10mm dalam keadaan dilipat. Find N5 juga menggunakan binaan titanium untuk ketahanan yang lebih baik selain dijangka tampil dengan penarafan IPX8. Untuk rekod, peranti Find N3 sebelum ini tidak mempunyai penarafan kalis air.

Oppo Find N5 juga dikhabarkan mempunyai bateri berkapasiti 6,000mAh. Ia mungkin menyokong pengecasan pantas mencapai 100W serta nirwayar 50W. Apabila bercakap tentang perisian, ia dijangka menjalankan ColorOS 15 (berasaskan Android 15) dengan penekanan terhadap ciri kecerdasan buatan menarik. Cip Snapdragon 8 Elite dikatakan menguasai peranti sebagai nilai tambahan yang menarik.

Dalam kemaskini yang sama, Pete Lau turut mendedahkan bahawa telefon pintar baharu ini akan membuat kemunculan rasmi di China pada Februari yang akan datang.

Komen