Carian
Produk Pengecasan Dengan “Qi2 Ready” Turut Boleh Mempunyai Gegelung Bergerak
January 13, 2025 Fahim Zahar

Semasa CES 2025, Wireless Power Consortium (WPC) telah mengumumkan yang telefon pintar Samsung dan Google pada tahun 2025 akan menawarkan sokongan pengecasan nirwayar magnetik Qi2. Selain itu, mereka turut mengumumkan kehadiran label produk Qi2 Ready dan juga piawaian Qi 2.1.

Qi2 adalah piawaian pegecasan nirwayar magnetik yang dibangunkan oleh WPC bersama-sama dengan Apple. Piawaian terbaru Qi 2.1 adalah untuk aksesori atau produk pengcasan tanpa sokongan magnet. Contoh pertama adalah dari Panasonic Automotive dengan pengecas Qi2 yang mempunyai gegelung bergerak.

Dengan gegelung bergerak, konsep Qi2 itu sendiri boleh menjadi realiti, iaitu pengecas boleh mengesan posisi terbaik peranti untuk mendapatkan pengalaman pengecasan paling stabil. Ia bergerak dengan menggunakan motor dan juga sensor. Aksesori ini dikatakan paling sesuai untuk penggunaan di dalam kenderaan berbanding untuk di rumah.

Buat masa ini masih tidak pasti bila ia akan diperkenalkan kepada umum, tetapi semua aksesori nanti akan mempunyai label Qi2. Misalnya, OnePlus 13 dan Oppo Find X8 Pro yang tiada magnet di dalam peranti tetapi ada pada kerangka pelindung – aksesori pihak ketiga boleh menjual pengecas Qi2 Ready untuk dua peranti ini. Sama-sama kita nantikan.

Komen