Minggu lalu kami laporan Malaysia akan dikenakan sekatan akses penuh cip pusat kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat. Hari ini ia disahkan oleh Setiausaha Perdagangan A.S Gina Raimondo dengan ia dilakukan bagi memastikan Amerika Syarikat terus kekal sebagai peneraju teknologi AI dunia.
Menerusi arahan yang dikeluarkan oleh Presiden Joe Biden, negara-negara di dunia dibahagikan kepada tiga tahap. Tahap 1 ialah untuk 18 negara-negara sekutu seperti Jepun, Taiwan, UK dan Australia yang diberikan akses cip tanpa had.

Tahap 2 ialah untuk negara seperti Malaysia, Singapura, Israel dan UAE dimana setiap negara mempunyai had kuasa perkomputeran untuk mengakses cip. Tahap 3 pula ialah untuk negara musuh seperti Rusia, China dan Iran yang dihalang daripada mengakses cip berteknologi Amerika Syarikat.
Sungguhpun begitu Malaysia tidak perlu risau impiannya menjadi pusat data serantau terjejas kerana Microsoft, Google dan Amazon diberikan kebenaran membina pusat data AI tanpa had kuasa perkomputeran negara ianya dibina.
Tetapi syarikat yang berpangkalan di Amerika hanya dibenarkan meletakkan 50% kuasa perkomputeran mereka di luar negara. Mereka juga tidak boleh meletakkan lebih daripada 25% kuasa perkomputeran di luar negara Tahap 1 dan maksimum 7% kuasa perkomputeran di satu negara Tahap 2.

Sejak sekatan pembelian cip AI dikenakan ke atas mereka dua tahun lalu, China mengakses kuasa perkomputeran secara awanan di pusat data yang terletak di rantau Asia. Arahan Presiden Biden hari ini adalah usaha untuk menutup lubang yang digunakan China untuk memintas halangan perkakasan AI ini.
Sejurus selepas pengumuman dilakukan, NVIDIA mengatakan ini adalah tindakan “luar batasan” yang mengekang teknologi yang sudahpun wujud pada komputer gaming dan perkakasan pengguna. Oracle pula awal bulan ini mengatakan arahan ini akan menyebabkan pasaran berpindah kepada cip AI dan GPU keluaran China yang akan hanya merugikan syarikat daripada Amerika.