Carian
Ulasan Hollyland LARK M2S – Audio Lantang, Pesaing Terhalang
January 16, 2025 Fahim Zahar

Sejak bulan Februari 2024, kebanyakan kandungan video saya tidak kira untuk TikTok atau YouTube Amanz serta peribadi – audio dirakam menggunakan Hollyland LARK M2. Kini selepas 11 bulan menggunakannya, saya cuba pula menggantikan LARK M2 dengan model terbaru mereka iaitu LARK M2S.

Adakah ini mikrofon untuk anda? Adakah anda patut kekal dengan LARK M2 atau tunggu dengan kehadiran LARK M3?

SPESIFIKASI DAN REKAAN

JENISMikrofon Omnidirectional
Pasang terus pakai (Plug & Play)
KUALITI24-bit Fideliti Tinggi
SENSITIVITI37 dBV ± 2 dBV
1 kHz, 94 dB SPL
ENC> 70dB
SISTEM KLIPKlip Titanium
Tanpa Magnet
BERAT7g
LOGOPermukaan, tiada
Belakang, ada
SAMBUNGAN2.4GHz
Frekuensi Melompat Adaptif (AFH)
Bluetooth
(Mikrofon ke Penerima)
Penyesuai USB
(USB-C)
Penerima Kamera
(Kabel TRS 3.5mm)
Jarak 300 meter
BATERIMikrofon
> 9 jam
Pod Pengecas
> 30 jam
Masa Pengecasan
< 1.5 jam
Jumlah Pengecasan
~ 2.5 kali
APLIKASIAndroid/iOS – LARK Sound
HARGARM499 – LARK M2S USB-C
RM599 – LARK M2S MINI COMBO
RM659 – LARK M2S COMBO

Hollyland LARK M2S ini menawarkan rekaan yang hampir sempurna untuk penggunaan harian saya. Pertama sekali adalah pod pengecas yang kini boleh menyimpan penerima USB dan tidak lagi perlu disimpan dalam kantung untuk sentiasa risau ia mudah hilang. Pod pengecas besar ini turut boleh memuatkan kapasiti bateri lebih besar.

Untuk mikrofon, saya suka akan rekaan kecil dan kompak yang dibawakan. Ia nampak ringkas, moden, mempunyai kemasan kusam premium dan paling penting berat setiap satu mikrofon ini pun adalah 7 gram yang sangat ringan.

Apa yang saya tidak suka pada LARK M2S adalah tiada lagi penggunaan magnet kerana beralih kepada penggunaan klip titanium. Setelah bertahun menggunakan DJI Mic dan Lark M2, saya sudah membiasakan diri menyorokkan mikrofon dalam lipatan baju. Sistem klip magnet menjadikan proses mengemaskan mikrofon pada baju lebih mudah berbanding sistem klip.

KUALITI AUDIO BUKAN MINI

Walaupun saiz mikrofon yang kecil, ia tidak mengorbankan kualiti audio. Setiap hasil rakaman yang dilakukan, audio kedengaran lebih dalam, lebih jelas dan lebih nyata. Suara saya sendiri kedengaran lebih bass berbanding LARK M2. Audio turut tidak menangkap banyak hingar persekitaran dan boleh fokus kepada individu yang memakai mikrofon.

Bercakap mengenai hingar persekitaran, mod ENC pada LARK M2S juga lebih bersih dan sedap didengar berbanding ENC pada LARK M2. Kesan suara digital itu masih ada, tetapi tidak terlampau jelas dan mengganggu hasil video akhir.

Mod ENC boleh dikawal dengan tekan butang fizikal pada mikrofon. Kawalan lain adalah pada aplikasi LARK Sound, yang turut membenarkan pengguna menukar mod rakaman mono atau stereo. Penggunaan penerima USB akan mengehadkan kualiti audio berbanding penggunaan bersama penerima kamera.

Kualiti audio 24-bit fideliti tinggi lebih jelas didengari dengan gandingan penerima kamera bersama kabel TRS 3.5mm. Roda kawalan pada penerima kamera boleh mengawal tahap ENC dan aras suara tetapi terhad kepada 3-tahap sahaja. Hollyland LARK M2S dikatakan adalah mikrofon mudah alih alternatif untuk penggunaan lebih ringkas dan kerja-kerja rakaman lebih ringan.

HASIL RAKAMAN DENGAN LARK M2S

Fail Audio

Sampel rakaman suara menggunakan kamera profesional dengan Hollyland LARK M2S yang disambungkan menggunakan kabel TRS 3.5mm untuk audio stereo 24-bit.

YouTube

Juga hasil rakaman dari dalam studio menggunakan kamera.

TikTok

@tokamanz

Hollyland LARK M2S Dah Sampai – Lagi kecil, lagi ringan, tiada logo jenama dan kualiti audio lagi ngam! Harga jualan bermula RM499, kemudian RM599 dan RM659 korang boleh dapat kit pemula content creator terbaik kat pasaran. #Hollyland #HollylandLARKM2S #LarkM2s

♬ original sound – Amanz – Amanz
Hasil rakaman di dalam studio menggunakan penerima USB-C pada Google Pixel 9 Pro XL.

TIADA MAGNET – PERUBAHAN BESAR

Saya marah dan tidak berpuas hati apabila mikrofon butang kegemaran saya dengan sistem klip magnet tidak diteruskan pada mikrofon baharu ini. Menurut Hollyland, mengubah rekaan butang kepada rekaan sepit lebih kecil dan tanpa magnet membolehkan ia mempunyai berat 7 gram yang sangat ringan.

Klip dibina dengan titanium untuk cengkaman terbaik dan pada permukaannya terdapat getah dengan tekstur kasar untuk cengkaman tambahan pada pelbagai jenis pakaian. Disebabkan ia titanium, keras, ketat dan kukuh – ia agak sukar untuk membuatkan saya menukar posisi mikrofon pada pakaian tanpa meninggalkan kesan renyuk.

BATERI YANG TAK PERLU RISAU

Sejak menggunakan LARK M2 lagi saya tidak pernah risaukan bateri, kecuali jika menggunakannya sepanjang hari tanpa dicas semula. Syukur pada LARK M2S, rakaman sepanjang hari dapat diselesaikan. Mikrofon baru ini boleh terus digunakan tanpa henti untuk hampir 9 jam, atau dalam penggunaan saya adalah sekitar 8 jam.

Pod pengecas boleh mengecas mikrofon dan penerima sebanyak hampir 2 kali dan masa pengecasan adalah sekitar 1.5 jam. Dengan bateri penuh, ia tiada masalah untuk digunakan selama hampir 4 hari berturut-turut.

KAWALAN, APLIKASI DAN SUNTINGAN

Siri Hollyland LARK adalah mikrofon yang direka untuk penggunaan pasang dan terus pakai atau Plug & Play. Jadi tiada kawalan fizikal yang penting perlu diketahui. Pastikan mikrofon ada bateri, butang kuasa untuk ENC atau matikan dan penerima telah disambungkan pada telefon atau kamera – selesai untuk memulakan rakaman.

Aplikasi LARK Sound memberi kawalan tambahan kepada pengguna. Ia boleh melihat laras suara, boleh mengaktifkan mod ENC dengan tetapan kuat atau lemah, kemudian turut boleh menetapkan kawalan rakaman audio mono atau stereo. Pada aplikasi, mod bypass speaker peranti turut diberikan untuk mudah mendengar hasil rakaman tanpa mencabut penerima USB.

Hollyland tidak lupa menyertakan bulu deadcat dalam setiap pembelian. Bulu ini digalakkan untuk digunakan bersama mod ENC untuk audio yang lebih bersih dan jelas. Kemudian, penerima kamera LARK M2S turut boleh disambungkan ke komputer dengan USB-C sama ada untuk pengecasan atau untuk rakaman audio lebih berkualiti. Sayang sekali, versi ini masih tidak menyokong storan dalaman dan rakaman sandaran.

APA DALAM KOTAK?

Ulasan ini adalah berdasarkan LARK M2S Combo, iaitu set lengkap yang ditawarkan buat masa ini.

  • 1x Pod pengecas
  • 2x Mikrofon nirwayar
  • 1x Penerima kamera
  • 1x Penerima USB-C
  • 2x Bulu deadcat
  • 1x Kabel TRS 3.5mm
  • 1x Kabel C-Lightning
  • 1x Kabel A-C
  • Set panduan dan kad jaminan.

KESIMPULAN

Selepas menggunakan mikrofon ini untuk hampir satu bulan lamanya, saya boleh katakan yang kualiti audio pada LARK M2S adalah sedikit lebih baik berbanding LARK M2. Cuma pada LARK M2, penggunaan jangka masa panjang menjanjikan pengalaman lebih stabil dan memuaskan. Saya amat menggemari hasil suara yang lebih dalam, jelas dan lantang. Tidak lupa juga bateri yang lebih tahan lama, serta mikrofon yang tiada logo untuk kelihatan lebih profesional.

Hollyland LARK M2S ini tidak menggunakan sistem magnet yang sangat saya gemari. Saya boleh maafkan kerana sistem klip yang kuat dan cengkaman hebat. Penggunaan klip ini perlu ambil sedikit masa untuk membiasakan diri seperti memastikan baju tidak renyuk dan terus klip ke posisi terbaik. LARK M2S bukan pengganti kepada LARK M2, tetapi adalah mikrofon alternatif untuk penggunaan pelbagai dan tugasan yang lebih ringan. Ia adalah mikrofon terbaik sebagai kit permulaan pencipta kandungan.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Audio yang dalam, lantang, bass dan lebih jelas.
  • ENC lebih stabil dan berkualiti.
  • Bateri tahan lama tanpa risau.
  • Pod pengecas kini boleh menyimpan penerima kamera.
  • Sistem klip titanium yang kukuh, kuat dan tahan lasak.
  • Menyokong jarak rakaman sehingga 30 meter.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Audio mungkin tidak stabil untuk penggunaan jangka masa panjang.
  • Mod ENC masih ada kesan suara digital.
  • Tiada lagi sistem klip magnet.
  • Tiada perlindungan IP yang mungkin berguna untuk individu cepat berpeluh.
Komen