Carian
Snapdragon 8s Elite Mungkin Adalah Cip Alternatif Untuk Peranti Mercu 2025
January 15, 2025 Fahim Zahar

Sejak kebelakangan ini, semakin mudah untuk orang ramai mengakses peranti mercu. Ini kerana, peranti Android dengan cip berkuasa tinggi dan mempunyai prestasi peranti mercu boleh didapatkan pada harga mampu milik. Akan datang, Qualcomm ingin memudahkan lagi orang ramai mendapatkan peranti mercu generasi baharu.

Cip Snapdragon 8s Elite telah tertiris dan dikatakan akan dilancarkan pada bulan Mac. Terdapat khabar angin, ini adalah cip untuk salah satu peranti dalam siri Poco F7. Menurut Digital Chat Station, iaitu peniris terkenal China – cip ini mungkin akan digunakan oleh iQOO dan REDMI terlebih dahulu. Kemudian, walaupun ada nama Elite pada cip ia tidak menggunakan konfigurasi Oryon yang sama pada Snapdragon 8 Elite.

Dalam ujian awal, Snapdragon 8s Elite dilihat mempunyai skor penanda aras sedikit lebih rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 3. Dalam Geekbench 6, cip ini mempunyai skor satu teras/multi-teras 1,967/5,827. Sementara cip Snapdragon 8 Gen 3 mencatatkan skor 2,200/7,000.

iQOO 13 – Peranti Snapdragon 8 Elite paling murah di Malaysia.

SM8735 atau Snapdragon 8s Elite dikatakan masih berada dalam peringkat awal ujian. Setakat ini, spesifikasi yang dilaporkan adalah ia menggunakan konfigurasi 1x Cortex-X4 3.21GHz + 3x Cortex-A720 3.01GHz + 2x Cortex-A720 2.80GHz + 2x 2.02GHz (mungkin Cortex-A520 atau lebih baru). Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut cip ini dan peranti mana akan menggunakannya serta berapa harga jualannya.

Komen