Pada penghujung dekad 90an sehingga awal 2010an, Nokia ialah jenama telefon mudah alih nombor satu dunia. Inovasi syarikat yang berasal dari Finland ini masih digunakan sehingga sekarang dengan ramai yang kecewa mereka kini tidak lagi menawarkan peranti pintar selepas tempoh lesen kepada HMD Global ditamatkan.
Bagi mereka yang ingin bernostalgia, laman Nokia Design Archive telah dibuka oleh Aalto University. Laman ini menyenaraikan gambar kesemua peranti-peranti yang pernah dihasilkan Nokia dalam dekad 90an hingga 2017 termasuk peranti yang hanya sekadar konsep. Pelawat juga boleh melihat dokumen rekaan, pengiklanan, lakaran rekaan dan bagaimana idea telefon mudah alih dihasilkan oleh Nokia.

Antara yang menarik ialah konsep telefon yang turut berfungsi sebagai pemain multimedia seakan telefon pintar moden tetapi dihasilkan ketika dekad 90an. Terdapat juga prototaip awal untuk Nokia 7600 atau lebih dikenali dengan nama panggilan Nokia Daun di Malaysia. Prototaip mempunyai lebih banyak butang fizikal tambahan dan rekaan tubuh yang lebih aneh.

Peranti boleh-pakai yang digantung pada leher dan kamera tubuh juga sudah dihasilkan sejak 1990an. Rekaannya sama seperti beberapa peranti AI yang dipasarkan tahun lalu sebagai pengganti telefon pintar.

Ini memberikan petunjuk Nokia berjaya meramal masa depan yang memerlukan telefon pintar tetapi mereka tidak merealisasikannya lebih awal daripada Apple sehingga menyebabkan mereka kini bukan lagi antara pengeluar telefon mudah alih terbesar dunia.