Apple Akan Menghentikan Sementara Rumusan Notifikasi AI Untuk Aplikasi Berita Dan Hiburan
Fahim Zahar
Bermula dengan iOS 18.2, iPadOS 18.3 dan macOS Sequoia 15.3, Apple akan menghentikan rumusan notifikasi untuk aplikasi berita dan hiburan. Ini adalah kerana selepas dikecam ramai dan dilaporkan oleh BBC, rumusan notifikasi Apple Intelligence boleh menyebabkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Apple dilaporkan akan mengaktifkan semula ciri ini selepas memastikan ia berfungsi dengan lebih baik. Kemudian dalam kemas kini baharu ini, notifikasi yang telah dirumuskan akan dipaparkan dengan teks menyondong bagi membezakan dengan notifikasi biasa.
Pada masa yang sama, pengguna turut boleh mematikan rumusan notifikasi AI mengikut aplikasi terus dari kunci skrin. Apple juga akan menambah penafian ketika pengguna mengaktifkan ciri ini yang ia masih lagi dalam peringkat ujian beta.

iOS 18.2, iPadOS 18.3 dan macOS Sequoia 15.3 kini masih dalam peringkat ujian pembangun dengan versi beta umum dijangka akan tiba sekitar minggu hadapan. Ini bermakna, versi stabil mungkin akan tiba sekitar kurang sebulan lagi. Sementara itu, anda boleh mematikan ciri rumusan notifikasi dengan Apple Intelligence jika risau akan kandungan lari daripada konteks.
[sumber] TechCrunch [/sumber]