Carian
Leica SL3-S Dilancarkan Dengan Sensor 24MP dan IP54 Pada Harga RM26,200
January 17, 2025 Nazrin

Kamera Leica SL3-S dilancarkan semalam dengan ia hadir dengan sensor 24-MP BSI yang juga boleh mengambil gambar pada tetapan 48MP dan 96MP. Sensor boleh mengambil sehingga 30 bingkai sesaat dengan had sehingga 175 bingkai serentak. Sensor juga mempunyai julat ISO antara 50 hingga 200,000 yang dipadankan dengan cip pemproses Maestro IV.

Terdapat sokongan untuk sistem C2PA yang mengesahkan ketulenan gambar yang diambil dengan maklumat disimpan dalam data meta. Leica ialah antara pengeluar yang menyokong C2PA bagi menangani isu penggunaan imej palsu di atas talian. Sementara itu kemampuan merakam video pula adalah sehingga 6K 4:2:0 sehingga 30FPS atau 16:9 4K 4:2:2 sehingga 60 FPS. Terdapat juga sokongan rakaman ProRes 422 HQ dan L-log.

Leica SL3-S ialah kamera hibrid yang memberikan kelebihan kepada kemampuan rakaman video berbanding Leica SL3 yang dilancarkan tahun lalu khusus untuk fotografi serta mempunyai sensor yang lebih besar. Tubuh kamera juga mempunyai kemampuan kalis air serta debu IP54.

EVF EyeRes hadir dengan 76 titik serta kadar segar semula 120Hz. Sementara itu di belakang panel LCD 3.2″ dengan 3.33 juta menyokong sentuhan serta mempunyai engsel yang memudahkan ia dipusingkan bagi melihat rakaman dengan lebih baik. Sambungan HDMI 2.1 turut disertakan.

Kad memori yang disokong pula ialah SD UHS-II dan CFexpress Type B. Pemilik juga boleh melakukan rakaman terus kepada storan SSD yang disambung kepada port USB-C seperti pada sebuah iPhone 16.

Tanda harga kamera Leica SL3-S untuk pasaran tempatan ditetapkan pada RM26,200 untuk badan kamera sahaja. Buat masa ini, kamera ini masih berada dalam senarai menunggu, dan pihak Leica Malaysia akan mengumumkan bilakah kamera ini akan mula dijual di pasaran tempatan. Dari segi sokongan lensa, kamera tersebut boleh dipadankan dengan lensa-lensa Leica SL sedia ada.

Komen