Imej yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) generatif kini semakin realistik menyukarkan proses membezakan imej palsu dan sebenar. Pelbagai inisiatif telah dimulakan bagi mengurangkan impak imej AI generatif yang kini sudah mula membanjiri internet. Oleh itu Coalition for Content Provenance and Authenticity (C2PA) dengan kerjasama Adobe, Microsoft, Nikon, Leica, Camera Bits, Truepic, dan Publicis Groupe telah memperkenalkan simbol khas untuk imej yang dijana oleh AI.
Logo “Content Credentials” boleh diletakkan pada imej yang dijana menggunakan Adobe Photoshop dan Bing Image Creator. Ia perlu diletakkan oleh mereka yang menjana imej secara manual. Apabila imej dikongsi ke internet, logo Content Credential boleh dilihat. Apabila ditekan maklumat mengenai siapa yang menghasilkannya, perisian apa digunakan dan tarikh bila ia dijana akan dapat dibaca. Turut dapat dibaca ialah sejarah setiap suntingan yang telah dilakukan ke atas gambar sejak ia dijana.
Kesahihan gambar dengan logo ini juga boleh diperiksa menerusi laman C2PA sekiranya perlu. Pada waktu ini penggunaan logo masih lagi secara sukarela oleh mereka yang menjananya. Ia bukanlah penyelesaian yang terbaik pada waktu ini tetapi adalah langkah yang betul ke arah memudahkan imej AI dijejak.
C2PA pada asalnya ditubuhkan bagi menentang kandungan gambar yang dimanipulasi di internet. Kamera Nikon dan Leica misalnya mempunyai meta data tersembunyi pada imej digital yang diambil yang mengesahkan keasliannya.