Carian
X Mungkin Diharamkan Di EU Kerana Mempromosikan Kandungan Berunsur Kebencian
January 20, 2025 Effi Saharudin

Hujung minggu lalu berita TikTok diharamkan oleh Amerika Syarikat kerana risiko keselamatan negara menjadi bualan hangat khususnya di atas talian. Pagi ini TikTok kembali bernafas selepas diberikan lanjutan tempoh jualan oleh Presiden Trump. Dalam hiruk pikuk perbincangan mengenai TikTok, Suruhanjaya Eropah (EC) telah memberikan notis kepada X supaya memberikan maklumat mengenai algoritma yang digunakan laman media sosial tersebut sebelum 15 Februari.

EC mendakwa algoritma X mempromosikan kandungan yang berunsur kebencian bagi memporak perandakan kerajaan negara ahli Kesatuan Eropah (EU). Pemilik X, Elon Musk sejak November kerap kali mempromosikan kandungan yang mengapi-apikan isu berunsur perkauman.

Mengikut Akta Perkhidmatan Digital (DSA) di EU, pengendali platform atas talian perlu bertanggungjawab atas penyebaran kandungan haram dan manipulasi maklumat. Sekiranya gagal mematuhi garis panduan DSA, X mungkin berhadapan akan diharamkan di negara-negara EU.

Tahun lalu X diharamkan di Brazil lebih sebulan selepas ia enggan mengharamkan beberapa akaun yang menyebarkan maklumat palsu. Pada awalnya X enggan mematuhi arahan kerajaan Brazil tetapi selepas berhadapan kehilangan 22 juta pengguna dan wang pengiklanan, mereka akhirnya akur untuk membayar denda yang pernah dikenakan serta melantik wakil guaman di dalam negara.

Komen