Semalam TikTok kembali beroperasi di Amerika Syarikat selepas perkhidmatan dimatikan selama 14 jam bagi memenuhi Akta Aplikasi Musuh Asing yang ditandatangani oleh Presiden Biden. Sejurus selepas mengangkat sumpah, Presiden Trump menandatangani arahan eksekutif yang memberikan Bytedance lanjutan 75 hari lagi untuk menjual perniagaan TikTok di Amerika Syarikat.

Seperti yang dilaporkan semalam, Trump ingin perniagaan TikTok dimiliki 50% oleh entiti Amerika Syarikat. Beliau berkata akan melakukan perbincangan dengan beberapa entiti tempatan bagi mengambil alih TikTok.
Sebelum ini China mengatakan sebarang keputusan melibatkan pengambil-alihan syarikat perlulah diputuskan secara bebas dan berasaskan kepada undang-undang. Keputusan yang dilakukan perlulah berasaskan kepada prinsip pasaran sendiri.
Sungguhpun tempoh lanjutan operasi diberikan selama 75 hari, Akta Aplikasi Musuh Asing masih lagi berkuat kuasa. Ini adalah sebab mengapa Google dan Apple masih enggan menawarkan semula aplikasi TikTok ke stor mereka kerana tidak mahu berhadapan implikasi didenda denda kerana melanggar undang-undang negara. Hanya TikTok kembali beroperasi di Amerika Syarikat dengan aplikasi lain milik Bytedance seperti CapCut, Lemon8 dan Marvel Snap masih lagi dihalang.
Akta Aplikasi Musuh Asing diluluskan dengan sokongan dwipartisan tahun lalu kerana mendakwa aplikasi milik negara musuh seperti China mendatangkan risiko yang serius kepada keselamatan Amerika Syarikat.