Apple Mungkin Menggunakan Dynamic Island Pada iPhone SE Bagi Menggantikan Takuk
Fahim Zahar
Baru-baru ini, peranti sebenar atau dami yang disyaki adalah untuk iPhone SE 4 telah tertiris. Ia memperlihatkan rekaan seakan iPhone 14 dengan sisi tebal, skrin rata, dan masih menggunakan suis lungsur notifikasi berbanding Action Button. Ramai menjangkakan yang iPhone SE 4 akan kekal dengan skrin bertakuk, namun maklumat tertiris hari ini mungkin akan menggembirakan ramai.

iPhone SE 4 menurut Evan Blass, iaitu peniris terkemuka akan menggunakan Dynamic Island mirip iPhone 15 dan ke atas. Ini mungkin untuk menyelaraskan identiti iPhone dengan skrin yang nampak lebih kurang sama untuk setiap model. Dengan menggunakan Dynamic Island, iPhone SE akan memberi pengalaman penggunaan yang lebih menarik serta lebih interaktif.

iPhone SE 4 turut dikatakan akan menggunakan modem tersendiri Apple, dijana cip A18, menggunakan memori 8GB RAM, menyokong USB-C dan juga Apple Intelligence. Ia juga mungkin akan dijual pada harga lebih mahal. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan tarikh pelancarannya yang dijangka pada bulan April.
[sumber] X – Evan Blass [/sumber]