Garmin Malaysia memulakan tahun 2025 dengan mengemaskini barisan produknya melalui model Instinct 3. Ia didatangkan dalam pilihan paparan AMOLED yang dinaiktaraf, atau model solar resolusi rendah yang dilengkapi paparan MIP monokrom. Ia juga mempunyai bezel polimer bertetulang gentian yang menjanjikan ketahanan yang lebih baik, dan dilindungi dengan kerangka polimer bertetulang dengan saiz mencapai 50mm.


Garmin juga menyertakan lampu suluh LED pada Instinct 3, menjadikan ia lebih baik berbanding Instinct 2X yang hanya mempunyai lampu suluh. Selain turut melepasi piawaian MIL-STD 810G dan kalis air sehingga 100 meter, walaupun begitu tiada penarafan khusus untuk aktiviti selam skuba dan laut dalam.


Ciri pemantauan kesihatan yang disokong pula termasuk kadar degupan jantung, pola waktu tidur, nilai kebolehubahan kadar denyutan jantung (HRV), penjejakan tekanan, oksigen dalam darah dan banyak lagi. Terdapat juga kebolehan senaman intensiti tinggi High-intensity Interval Training (HIIT) diberikan sesuai untuk mereka yang menjalani rutin padat, kerana boleh dijalankan dalam tempoh yang singkat.

Pilihan AMOLED menjanjikan hayat bateri yang panjang mencapai 28 hari dengan sekali pengecasan. Sementara itu, Instinct 3 Solar pula direka khusus untuk ketahanan bateri tanpa had melalui pemakaian sepanjang hari dengan sekurang-kurangnya 3 jam sehari di luar. Harga jualan adalah bermula RM1,999 untuk Instinct 3 AMOLED dan RM2,239 untuk Instinct 3 Solar. Ia boleh didapati bermula 25 Februari 2025 melalui pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia.