Carian
MrBeast Juga Ingin Membeli TikTok
January 22, 2025 Effi Saharudin

Bytedance diberikan lanjutan 75 hari untuk menjual perniagaan TikTok di Amerika Syarikat menerusi arahan eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump semalam. Ini bermakna masa depan aplikasi yang digunakan 170 juta pengguna di Amerika Syarikat masih lagi kabur sekiranya ia tidak dijual kepada entiti milik negara tersebut.

MrBeast

Bloomberg melaporkan YouTuber terkemuka MrBeast kini menyertai sekumpulan pelabur diketuai oleh Jesse Tinsley yang juga adalah pengasas Employer.com. Pembelian akan dilakukan dalam bentuk tunai sepenuhnya tetapi nilai tawaran pembelian kepada Bytedance tidak didedahkan.

Ini adalah kumpulan kedua yang ingin menunjukkan minat yang sama selepas kumpulan pertama yang terdiri daripada Kevin O’Leary daripada siri Shark Tank mengumumkan hasrat mereka bulan lalu. Harga jualan TikTok dianggarkan antara $100-$200 bilion yang adalah jauh lebih tinggi berbanding Twitter semasa dibeli oleh Elon Musk dan Instagram semasa dibeli oleh Mark Zuckerberg.

Walaupun pada awalnya China menolak penjualan TikTok, kenyataan baharu yang dikeluarkan dua hari lalu memberikan kuasa kepada Bytedance untuk meneruskannya ataupun tidak. Trump dipetik berkata ingin melihat 50% pemilikan TikTok dipegang oleh entiti dari Amerika Syarikat.

Komen