Sebelum ini kami pernah melaporkan tentang siri cip pemprosesan Intel Nova Lake yang dijangka akan menggantikan siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake untuk komputer kelas desktop yang dijangka akan diperkenalkan sekitar 2026 ke 2027 kelak.
Terkini, ia dilaporkan bahawa cip pemprosesan Intel Nova Lake ini sudahpun mula dihantar kepada rakan pembangun komputer untuk fasa ujian dan pengesahan produk untuk melihat sama ada cip pemprosesan ini sesuai untuk diteruskan pembangunannya, ataupun jika ia masih memerlukan sebarang pembetulan dan penambahbaikan.

Apa yang diketahui mengenai Nova Lake buat masa ini ialah Intel akan mula mengeluarkan cip-cip pemprosesan mereka sekali lagi, selepas kesemua produk yang dilancarkan pada tahun lepas, termasuklah siri cip pemprosesan Lunar Lake dan Arrow Lake memerlukan bantuan TSMC untuk mengeluarkannya.
Siri cip pemprosesan Intel Nova Lake dan juga Panther Lake, yang dijangka menggantikan siri cip pemprosesan Lunar Lake akan dibina menggunakan proses Intel 18A (1.8nm, 18 Angstrom), proses pengeluaran cip semikonduktor termaju Intel setakat ini, melangkaui Intel 20A yang sepatutnya digunakan untuk siri cip pemprosesan tahun lepas.

Dalam pada itu, ia juga dijangka bahawa siri cip pemprosesan Intel Nova Lake akan memerlukan soket baru, dan ini bermakna bahawa soket LGA 1851 hanya akan digunakan untuk satu generasi CPU, iaitu Intel Arrow Lake.
Seperti yang dikatakan, siri cip pemprosesan Intel Nova Lake dijangka akan diperkenalkan sekitar tahun 2026 ke 2027, berbeza dengan Intel Panther Lake yang mungkin akan diperkenalkan lebih cepat.