Carian
Google Mengambil Alih Pasukan Kejuruteraan HTC Vive
January 23, 2025 Effi Saharudin

Sebahagian pasukan kejuruteraan HTC Vive telah diambil alih oleh Google pada nilai $250 juta. Kepakaran pasukan ini dalam ruangan realiti maya (VR) dan realiti gabungan (MR) akan digunakan Google bagi memacu pembangunan sistem operasi Android XR. Ini kali kedua Google mengambil alih pasukan daripada HTC. Lapan tahun lalu mereka mengambil alih pasukan rekaan bagi menghasilkan Google Pixel pada nilai $1.1 bilion.

Menerusi perjanjian yang ditandatangani, Google juga dapat mengakses harta intelek teknologi XR HTC tetapi bukan secara eksklusif. Kedua-dua syarikat juga akan melihat untuk mengembangkan lagi usaha sama di masa hadapan. Android XR akan digunakan set kepala Samsung Project Moohan dan juga cermin mata pintar Samsung yang masih di peringkat awal pembangunan.

Walaupun sebahagian pasukan Vive telahpun dijual, HTC tidak mempunyai perancangan untuk menamatkan pengeluaran set kepala mereka dalam masa terdekat.

Komen