Carian
EnergyBook Classic Ialah Komputer Riba Dengan Jenama Energizer Pertama
January 23, 2025 Nazrin

Orang ramai akan mengenali Energizer sebagai sebuah jenama bateri yang cukup terkenal. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini mereka juga telah memperlihatkan produk seperti power bank dan peranti pintar yang mempunyai jumlah bateri yang sangat besar.

Di Perancis, syarikat pembuat peranti elektronik Avenir Telecom telah memperkenalkan siri komputer riba baru yang dinamakan EnergyBook Classic yang hadir dengan spesifikasi kelas mampu milik yang akan dijual pada harga $199.

Apa yang menarik mengenai komputer riba ini ialah ia tampil menggunakan penjenamaan Energizer di belakang bahagian paparan, membuatkan ramai yang tertanya samada Energizer akhirnya telah memasuki pasaran ini. Penjelasan yang diberikan nampaknya ialah Avenir Telecom telah membeli lesen penjenamaan Energizer dan menggunakannya untuk komputer riba EnergyBook Classic ini.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai komputer riba ini buat masa ini, tetapi ia akan hadir dalam dua pilihan saiz paparan skrin, termasuklah 15 inci dan 17 inci dan akan hadir dengan pilihan storan 128GB dan 256GB. Dari segi penawaran palam pula ia hadir dengan dua palam USB Type-A, satu palam USB Type-C, satu palam HDMI dan dua palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad SD.

Komputer riba ini juga dijangka akan dilancarkan dengan sistem operasi Microsoft Windows berdasarkan papan kekuncinya. Walaupun begitu, dengan saiz storan yang sangat kecil, komputer riba ini dijangka hanya akan digunakan untuk tujuan melayar web dan menstrim video dari platform seperti YouTube dan Netflix.

Komen