Carian
Ulasan Sonos Arc Ultra dan Sub 4 – Audio Bangsawan Yang Menawan
January 28, 2025 Effi Saharudin

Jenama Sonos mempunyai reputasi sebagai pengeluar peralatan audio premium pada harga tidak kurang hebatnya. Baru-baru ini saya diberikan akses kepada 9.1.4 Sonos Premium Set yang terdiri daripada soundbar Sonos Arc Ultra yang terkini dan juga subwoofer Sub 4. Adakah set bangsawan ini mampu menawarkan audio yang menawan? Ini ulasan penuh saya di bawah.

Spesifikasi

Sonos Arc Ultra
JenisSoundbar
Pemandu14 Pemandu Audio
Port I/OHDMI eARC
RJ45 LAN
Audio DisokongDolby Digital Plus
Dolby Atmos (Dolby Digital Plus)
Dolby Atmos
Dolby TrueHD
Dolby Atmos (True HD)
Multichannel PCM
Dolby Multichannel PCM
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhYa
BluetoothYa
Bicu Audio AUXTiada
Saiz dan Berat1.178 x 110.6 x 75 mm
5.9 kilogram
Harga Jualan RM 5899

Tidak seperti Sonos Sound Ray, Arc Ultra ialah abang besar yang dengan saiz 1.178 x 110.6 x 75 mm dan seberat 5.9 kilogram. Walaupun lebih besar berbanding Sound Ray, ia sedikit lebih kecil jika dibandingkan dengan Samsung Soundbar Q990C yang pernah diulas sebelum ini. Tubuh soundbar dilengkapi 14 pemandu audio yang terdiri daripada 7 tweeter, 6 mid-woofer dan 1 woofer Sound Motion. Sound Motion ialah teknologi eksklusif Sonos yang menawarkan audio yang lebih lantang menggunakan pemandu audio bersaiz lebih kompak. Soundbar ini sahaja menyokong 9.1.4 saluran.

Dengan saiznya yang agak besar, Sonos menyatakan Arc Ultra serasi digunakan pada TV dengan saiz 50″ dan ke atas. Tetapi saya rasakan ia lebih serasi digunakan pada TV dengan skrin 55″ dan ke atas kerana ianya panjang. Pastikan anda mempunyai ruang yang mencukupi di bawah dan hadapan TV jika tidak ingin menggantung Arc Ultra ke dinding rumah.

Tubuh Arc Ultra diperbuat daripada logam dengan penawaran dalam warna hitam dan putih. Sisi yang dibulatkan membuatkan. ia kelihatan lebih elegan berbanding soundbar lain yang rata-ratanya menggunakan rekaan tubuh berkotak.

Ratusan lubang untuk kekisi audio diletakkan pada permukaan tubuh. Kemasan tidak berkilat membuatkan ia tidak memerangkap kotoran dan debu dengan mudah. Di bahagian atas terdapat pad sesentuh untuk menukar mod input, pada sesentuh untuk laras audio dan ciri menjeda serta melangkau muzik yang dimainkan.

Di belakang terdapat satu input HDMI eARC, port LAN, butang membisukan mikrofon, butang tambatan bluetooth dan palam untuk kabel kuasa. Ini ialah I/O standard pada sistem audio Sonos yang tidak menyokong sambungan kabel AUX atau optikal. Satu-satunya ciri baharu pada Arc Ultra berbanding Arc biasa ialah akhirnya Sonos memberikan sokongan tambatan bluetooth yang sudah lama diminta oleh pengguna.

Arc Ultra juga tidak hadir dengan alat kawalan jauh fizikal. Kawalan dilakukan sepenuhnya menerusi butang fizikal di bahagian atas atau menggunakan aplikasi telefon pintar. Saya akan menyentuh ciri-ciri yang boleh dikawal menerusi aplikasi ini dalam bahagian khas perisian di bawah nanti. Tetapi saya boleh katakan tiadanya alat kawalan jauh bukanlah isu yang besar kerana apabila dipasang pada TV menggunakan HDMI eARC, alat kawalan jauh TV secara automatik boleh digunakan untuk mengawal Arc Ultra.

Sonos Sub 4
JenisSubwoofer
PemanduDua pemandu 5 x 8″ 
Port I/OTiada
Audio DisokongDolby Digital Plus
Dolby Atmos (Dolby Digital Plus)
Dolby Atmos
Dolby TrueHD
Dolby Atmos (True HD)
Multichannel PCM
Dolby Multichannel PCM
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Butang fizikalButang tambatan Sonos
BluetoothTiada
Bicu Audio AUXTiada
Saiz dan Berat389 x 402 x 158 mm
11.79 kilogram
Harga Jualan RM 4799

Sementara itu Sonos Sub 4 ialah subwoofer dengan saiz 389 x 402 x 158 mm dan seberat 11.79 kilogram. Ia dilengkapi sepasang subwoofer berbentuk bujur dengan saiz 5 x 8 ” yang diletakkan bertentangan antara satu sama lain. Ini adalah sebab mengapa ia mempunyai lubang ditengah-tengah seperti huruf O.

Rekaan yang tidak konvensional ini menurut Sonos menawarkan dentuman bass yang lebih kuat tetapi seimbang kerana tiada distorsi audio jika sekadar mempunyai satu pemandu seperti rekaan subwoofer konvensional.

Seperti Arc Ultra, kemasan tubuh Sub 4 adalah tidak berkilat dengan pilihan warna putih dan hitam bagi mengelakkan ia menarik kotoran seperti magnet. Hanya terdapat satu sahaja butang fizikal di bahagian bawah untuk mengaktifkan mod memadankan Sub 4 ke dalam aplikasi Sonos jika ia tidak boleh dikesan sejurus selepas diaktifkan.


Penggunaan

Proses mengaktifkan kedua-dua Arc Ultra dan Sub 4 adalah mudah kerana saya telahpun menggunakan beberapa produk Sonos sebelum ini. Satu “keunikan” produk Sonos ialah ia perlu diaktifkan dengan aplikasi terlebih dahulu dan ini memerlukan Sambungan WiFi. Langkah yang aneh tetapi sebagai produk audio premium, mungkin mereka merasakan adalah mustahil pemilik produk mereka tidak mempunyai perkhidmatan internet di rumah.

Setelah kesemua komponen dimasukkan ke dalam aplikasi, pengguna boleh melakukan talaan audio secara automatik mengikut saiz ruang TV di rumah menggunakan Trueplay. Berita baik bagi pengguna Android, Trueplay kini boleh diakses menggunakan telefon anda. Cuma sekali lagi iPhone menerima ciri yang lebih maju dimana talaan audio yang lebih tepat Advanced Tuning boleh dilakukan dengan beberapa langkah tambahan.

Adakah aplikasi Sonos bagus? Anda pasti pernah membaca rungutan pengguna Sonos mengenai aplikasi baharu yang tidak menyokong kesemua ciri yang wujud dalam aplikasi lama. Pelbagai isu yang timbul menyebabkan CEO syarikat terpaksa meminta maaf tetapi masih gagal menyelamatkan beliau daripada disuruh meletakkan jawatan oleh lembaga pengarah baru-baru ini.

Sebagai pengguna baharu Sonos, saya tidak mempunyai pengalaman menggunakan aplikasi lama. Saya hanya boleh katakan ciri yang diberikan dalam aplikasi adalah memuaskan kerana terdapat ciri-ciri asas dan juga lebih kompleks seperti mengubah keseimbangan audio Arc Ultra dan Sub 4 terus dari dalam aplikasi. Terdapat tetapan EQ dan juga pilihan menambah perkhidmatan penstriman muzik pilihan.

Isu yang saya hadapi hanyalah satu sahaja iaitu terdapat lengah masa yang ketara apabila menukar lagu dari dalam aplikasi sebelum audio muncul di sistem audio. Ini berlaku tanpa mengira perkhidmatan apa yang digunakan. Spotify, Apple Music dan YouTube Music semuanya bermasalah. Kadang kala penstriman terhenti lebih-lebih lagi jika saya menstrim lagu daripada Apple Music menerusi telefon Android.

Kerana isu-isu di atas, saya hanya menguji kemampuan mendengar muzik pada sistem Arc Ultra dan Sub 4 menggunakan tambatan bluetooth. Dalam mod bluetooth semuanya berjalan jauh lebih lancar. Tiada lagi isu lengah masa audio dan penstriman terhenti secara mengejut. Ini juga membolehkan sistem audio menstrim muzik tanpa internet jika muzik semuanya tersimpan dalam peranti yang ditambat.

Kualiti Audio

Arc Ultra lebih kompak saiznya berbanding soundbar lain di pasaran. Maka pada awalnya wujud perasaan ia mungkin tidak mampu menawarkan tahap lontaran audio yang sebaik Q990C. Tetapi ramalan saya meleset kerana audio yang mampu dihasilkan adalah setanding. Dengan sokongan Dolby Atmos pengalaman diri dikelilingi audio dari pelbagai arah dapat dinikmati. Sungguhpun begitu dengan mod Speech Enhancement, dialog yang diucapkan oleh watak dalam filem atau siri TV akan diberikan keutamaan.

Ini saya uji sendiri dalam filem Saving Private Ryan dan Band of Brothers. Dialog pelakon dapat didengari dengan jelas walaupun ketika babak letupan yang memekakkan telinga. Bercakap mengenai audio yang boleh memekakkan telinga, terdapat Night Mode yang akan mengurangkan dentuman bass sehingga boleh menggangu orang lain di rumah atau lebih penting sekali jiran tetanggam.

Jika ini masih lagi tidak mencukupi, audio daripada Arc Ultra boleh dilontar ke Sonos Ace dengan menekan satu butang sahaja pada fon telinga ini. Tidak ada sistem audio lain di pasaran memberikan kemudahan berpindah dari sebatang soundbar ke ke sepasang fon telinga.

Perkara yang lain saya gemari mengenai soundbar Sonos ialah ia serasi digunakan bukan sahaja untuk kandungan filem dan siri TV tetapi juga untuk menstrim kandungan muzik. Ia tidak terhad hanya untuk genrasi klasikal sahaja sepert majoroti soundbar yang pernah saya ulas. Pelbagai genre boleh dimainkan pada Arc Ultra tanpa sebarang isu. Vokal lantas jelas dan gemersik. Pemisahan instrumen dilakukan dengan cemerlang dan pementasan audionya pula terasa luas.

Memainkan konsert Nirvana Unpluggged in New York dan Portishead Live from Roseland NY memberikan pengalaman seperti saya benar-benar sedang menonton dua konsert ini secara langsung. Konsert Metallica S&M menunjukkan betapa versatilnya Arc Ultra kerana muzik metal Metallica dapat dimainkan dengan seimbang bersama dengan orkestra lengkap di latar belakang.

Tetapi ada satu sahaja kekurangan yang saya sedari iaitu jika filem dengan Dolby Atmos dimainkan, audio yang sepatutnya datang dari arah belakang dan di atas tidak kedengaran realistik. Walaupun Arc Ultra mempunyai beberapa woofer lontaran audio ke sisi dan ke atas, ia masih lagi sekadar memberikan kesan simulasi. Ia tidak sama seperti mempunyai speaker sebenar. Oleh itu sepasang speaker Sonos Era 300 perlu ditambah dengan setiap satunya dijual pada harga RM2,239. Untuk sebuah sistem Dolby Atmos lengkap anda perlu berbelanja lebih RM15,000!


Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan kombinasi Sonos Arc Ultra dan Sub 4 mampu menawarkan pengalaman audio yang amat memuaskan bagi mereka yang ingin sistem audio ala panggung wayang di rumah. Saiz sistem audio ini adalah lebih kompak dibandingkan dengan pesaing berkemampuan sama. Sokongan sistem Dolby Atmos serta ekosistem fon kepala Sonos Ace memberikan kelebihan kerana tiada soundbar lain di pasaran membolehkan audio dipindahkan terus ke sepasang fon telinga menggunakan satu butang sahaja.

Tetapi dengan kombinasi harga hampir RM11,000, saya merasakan ia adalah harga yang amat premium bagi kebanyakan pembaca di luar sana. Harga memang tahap bangsawan tetapi pengalaman audionya memang menawan. Cuma hakikatnya ia di pasaran sekarang terdapat beberapa sistem soundbar oleh Sony, Samsung dan JBL yang memberikan pengalaman audio yang tidak kurang hebatnya pada harga sekitar 40% sahaja berbanding kombinasi Arc Ultra dan Sub 4.

Harus juga disentuh pengalaman aplikasi Sonos pada ketika ini masih tidak begitu lancar di iOS dan Android. Kami sarankan set audio Sonos ini hanya kepada golongan peminat tegar yang mampu memilikinya. Kepada orang, alternatif di luar sana tidak kurang hebatnya dengan harga lebih mesra ekonomi semasa.

Pro

  • Rekaan menarik dan kontemporari.
  • Prestasi audio yang baik untuk kandungan filem, siri TV dan muzik.
  • Akhirnya sokongan bluetooth.
  • Sokongan Dolby Atmos

Kontra

  • Tiada sokongan input kabel audio.
  • Aplikasi masih lagi bermasalah.
Komen