Di Malaysia tular pada penghujung tahun lalu apabila World (dahulunya Worldcoin) mula mengambil imbasan anak mata pengguna tempatan dengan imbuhan dalam bentuk mata wang kripto. Ini ialah projek di bawah Tools for Humanity oleh Sam Altman untuk mempopularkan penggunaan wang kripto mereka dengan ia menerima kerjasama MIMOS dan MyEG di Malaysia.

Tetapi di Brazil, Pihak Berkuasa Perlindungan Data telah mengharamkan Tools for Humanity untuk melakukan aktiviti pengumpulan imbasan anak mata penduduk negara tersebut. Ini kerana imbuhan kripto yang diberikan dilihat boleh mengaburi keputusan pengguna yang memberikan data biometri mereka secara sukarela.
Selain Brazil, World juga sudah diarahkan menghentikan aktiviti imbasan anak mata di Hong Kong, Kenya, Sepanyol dan Portugal kerana wujud kerisauan mengenai privasi data pengguna yang dikumpul.