Google Pixel 4a ialah peranti pintar keluaran Google yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2020. Kemaskini terakhir peranti ini telah diperlihatkan pada awal tahun ini, dimana ia menggerakkan sistem operasi Android 13.
Kaveat kepada kemaskini ini ialah Google turut mengatakan bahawa pengguna peranti tersebut akan mengalami isu bateri seperti ketahanan yang lebih lemah dan juga kebolehan pengecasan yang tidak sebaik sebelum ini. Dalam pada itu, kemaskini terbaru ini juga dimuat-turun secara automatik apabila ia diperkenalkan secara rasmi.

Mengeruhkan keadaan lagi untuk pengguna nampaknya ialah Google telah membuang fail factory images untuk sistem operasi versi lama peranti Pixel 4a ini, dan ini menyebabkan pengguna-pengguna ini untuk hidup dengan kebolehan pengecasan yang lebih cacat.
Untuk “membantu” pengguna dengan isu ini, Google telah membuka satu laman web bantuan untuk membolehkan mereka memulakan proses pertukaran bateri ataupun memberi wang saguhati $50-$100 untuk membantu dalam pembelian peranti Pixel baharu.

Sayangnya untuk pengguna yang mengimport peranti ini, nampaknya mereka perlu kekal menggunakan Pixel 4a secara sedia ada, ataupun beralih kepada peranti yang lebih baru, mungkin sebuah peranti yang mempunyai jangka-hayat kemaskini yang lebih panjang.