Carian
Malaysia Mencatatkan 27.9 Juta Ancaman Atas Talian Sepanjang 2024 – Kaspersky Labs
January 27, 2025 Nazrin

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa kerugian yang dialami rakyat Malaysia akibat isu scam atas talian telah mencecah RM1.5 bilion sepanjang tahun 2024, dan sebanyak RM5 bilion kerugian dicatatkan dari 2020 sehingga 2024.

Sebahagian daripada itu, Kaspersky Labs baru-baru ini telah mengeluarkan laporan Kaspersky Security Bulletin 2024 yang memperlihatkan bahawa Malaysia telah mengalami sebanyak 27.9 juta ancaman atas talian sepanjang 2024 yang telah dikesan dan dihalang oleh syarikat sekuriti tersebut.

Laporan tersebut mengatakan bahawa Malaysia kini berada di tempat ke-30 untuk negara dengan jumlah serangan siber tertinggi di dunia, memperlihatkan peningkatan sekitar empat peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Yeo Siang Tiong, Pengurus Besar Kaspersky Labs Asia Tenggara mengatakan bahawa data yang diperlihatkan oleh Kaspersky Labs mengatakan bahawa vektor serangan atas talian sekarang dilihat sangat rumit sekali dan memerlukan individu, perniagaan dan pihak kerajaan untuk sentiasa memastikan bahawa amalan terbaik sekuriti siber sentiasa terjaga untuk mengurangkan kebarangkalian data mereka dicuri.

Malaysia kini merupakan penyelaras ASEAN Regional Computer Emergency Response Team (ASEAN CERT) yang akan cuba untuk membangunkan ekosistem sekuriti digital yang lebih menyeluruh dan tahan lasak untuk negara-negara tersebut.

Malaysia juga sedang dalam proses untuk menyertai Budapest Convention dan United Nations Convention Against Cybercrime sebagai komitmen negara ini dalam memerangi ancaman jenayah siber.

Untuk rakyat Malaysia, saranan Kaspersky Labs ialah untuk anda mengaktifkan ciri-ciri keselamatan siber terbina seperti penggunaan frasa laluan yang kukuh, mengaktifkan ciri dwi-faktor sekiranya ada, jangan membuka mesej atau pautan dari individu-individu yang tidak dikenali untuk memastikan keselamatan digital anda.

Komen