Samsung Galaxy Z Flip7 Mungkin Dilengkapi Kamera Yang Sama Dengan Model Terdahulu
Amy Maizuraa
Generasi baharu telefon boleh lipat Samsung dijangka dilancarkan akhir tahun ini dengan dua model berbeza iaitu Galaxy Z Flip7 dan Galaxy Z Fold7. Kini muncul desas-desus mengenai Galaxy Z Flip7 yang mungkin tidak mempunyai sebarang perubahan spesifikasi untuk sistem kameranya.

Sumber berkata, Galaxy Z Flip7 akan diteruskan dengan persediaan tiga kamera secara keseluruhan dengan sensor utama 50MP dan ultra lebar 12MP di belakang. Untuk swafoto, ia dijangka menggunakan kamera hadapan 10MP. Ia merupakan persediaan kamera yang sama seperti Galaxy Z Flip6 tahun lalu yang secara jelas memberi gambaran tiada peningkatan dari aspek kamera. Meskipun begitu, Samsung dijangka menawarkan ciri berasaskan AI lebih baik pada sistem kamera untuk peranti boleh lipat ini.

Sumber turut menambah Galaxy Z Flip7 dijangka dikuasai oleh cip Exynos. Selain itu dikatakan memiliki paparan skrin lebih besar yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Ia bertambah baik apabila peranti kelak menyokong pilihan Flex Mode untuk kegunaan peranti tanpa sentuh.