Carian
Trump Ingin Mengenakan Tarif Sehingga 100% Ke Atas Cip Yang Diimport
January 28, 2025 Effi Saharudin

Belum lagi dua minggu memegang jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan kadar tarif tinggi ke atas barangan yang diimport dari Mexico, Canada, China dan Colombia. Semuanya atas alasan ingin meningkatkan penggunaan produk keluaran domestik. Kini Trump mengumumkan beliau akan mengenakan pula tarif ke atas cip, semikonduktor dan farmaseutikal yang diimport dari luar negara.

Ini dilihat sebagai satu lagi usaha beliau untuk mengganggu industri semikonduktor China yang pada ketika ini mengeluarkan sebahagian besar cip legasi kegunaan sektor automotif dan barangan elektronik. Walaupun sasaran beliau ialah China, syarikat pengeluar lain seperti TSMC yang masih menghasilkan cip di Taiwan dan Intel di Malaysia juga akan terkena tempias tarif ini.

Menurut Trump jika syarikat ingin mengelakkan tarif, mereka perlu membina kilang di Amerika Syarikat. Trump turut mengkritik Akta CHIPS oleh Joe Biden yang memberikan dana kepada syarikat semikonduktor untuk membina kilang di Amerika Syarikat. Sebaliknya tambah Trump lagi, insentif sebenar ialah mengenakan tarif antara 25% hingga 100% sekiranya mereka enggan memindahkan pengilangan ke Amerika Syarikat.

TSMC sudahpun memulakan pengilangan sebahagian cip mereka di Amerika Syarikat untuk Apple. Intel pula penerima dana Akta CHIPS sebanyak $7.86 bilion sudahpun merancang membina kilang di Arizona, New Mexico, Ohio, dan Oregon.

Komen