Model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 menjadi bualan ramai minggu lalu kerana ia didakwa beroperasi dengan lebih baik berbanding model yang dilancarkan oleh OpenAI dan Meta tetapi dengan pelaburan yang ratusan kali lebih rendah. Dengan aplikasi DeepSeek kini menjadi yang paling banyak di muat turun di App Store, Microsoft mengumumkan pula sokongan untuk menjalankan DeepSeek R1 secara terus pada Copilot+ PC.
Versi yang disokong ini telah dioptimumkan untuk Copilot+ PC yang dilengkapi cip siri Snapdragon X dan Intel Lunar Lake yang terkini. Di peringkat awal sokongan akan diberikan untuk model DeepSeek-R1-Distill-Qwen-1.5B terlebih dahulu sebelum dikembangkan pula untuk model 7B dan 15B menerusi AI Tookit.

Ini membolehkan pembangunan aplikasi menggunakan DeepSeek R1 dijalankan secara terus daripada Copilot+ PC. Dengan ini semua pemprosesan data akan dilakukan oleh mesin tanpa ia dihantar kepada pelayan di China.
Perkongsian data dengan China sudahpun menjadi isu di kalangan pengguna di Amerika Syarikat dengan wujud saranan aplikasi DeepSeek pula diharamkan seperti TikTok oleh sesetengah pihak. Ia turut membolehkan pemprosesan lebih pantas dan mode AI digunakan tanpa sambungan internet.