Carian
Microsoft Mula Membuang Kakitangan Berprestasi Rendah
February 3, 2025 Aman

Selepas Meta tempoh hari, kini Microsoft turut memilih untuk menghentikan para pekerja dan kakitangan mereka yang kurang produktif atau berprestasi rendah berbanding yang lain. Dengan langkah ini, pelbagai syarikat teknologi kini dilihat memfokuskan kepada tenaga kerja yang lebih produktif dan berprestasi tinggi pada organisasi masing-masing.

Melalui Business Insider, ia dilaporkan Microsoft turut tidak menawarkan pampasan kepada beberapa pekerja. Selain itu, melalui surat pemberhentian kerja, Microsoft menekankan akan mengambil kira prestasi lepas sekiranya seseorang itu memilih untuk memohon kerja kembali pada syarikat berkenaan.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berapa ramaikah yang terkesan dengan pemberhentian kerja ini. Pihak Microsoft sendiri mengatakan mereka memfokuskan kepada bakat-bakat dan tenaga kerja berprestasi tinggi pada syarikat mereka, termasuk membantu pekerja dalam berkembang dan mempelajari perkara baharu. Namun, sekiranya pekerja tersebut tidak mencapai prestasi yang diperlukan, Microsoft mengatakan mereka mengambil tindakan yang sewajarnya.

Komen