Carian
Penstriman Netflix Games Mula Muncul Di Malaysia – Tetapi Belum Boleh Dimainkan
February 3, 2025 Fahim Zahar

Netflix Games adalah penawaran baharu di Netflix, di mana pelanggan kini boleh bermain pelbagai permainan video mudah alih tanpa iklan, tanpa langganan dan tanpa belian dari dalam aplikasi. Permainan ini ditawarkan untuk iOS dan Android, tetapi versi penstriman untuk dimainkan di televisyen turut boleh dicuba. Di TV, Netflix menggunakan kaedah penstriman seakan Google Stadia atau Nvidia GeForce Now – di mana pengguna tidak perlu memasang permainan pada peranti.

Terbaru, selepas dua tahun ditawarkan di televisyen untuk pelanggan di  AS, Kanada, United Kingdom, Sepanyol, Mexico, Perancis, Itali, dan Jermanversi web mula diuji secara meluas. Minggu lepas, ia muncul di Amerika dan baru-baru ini saya sendiri melihatnya di laman web Netflix. Ia setakat ini terpapar dalam akaun dan profil saya ketika menggunakan pelayar web berasaskan Chromium. Menurut Netflix, koleksi permainan ini hanya akan dilihat oleh pengguna Beta yang layak dan juga peranti menepati piawaian spesifikasi.

Untuk bermain permainan secara penstriman ini, Netflix memerlukan Internet 10Mbps dan peranti disambungkan dengan papan kekunci dan tetikus. Jika di televisyen – pastikan telefon ada aplikasi Netflix untuk kawalan tambahan pada peranti Android. Aplikasi akan digunakan untuk mengimbas kod dan mengaktifkan antaramuka alat kawalan. Pada peranti iOS atau iPadOS, aplikasi Netflix Game Controller perlu digunakan.

Berikut adalah senarai permainan yang sedia ditawarkan. Ia masih terhad berbanding Netflix Games biasa pada peranti Android dan iOS.

  • Cozy Grove: Camp Spirit
  • Infernax
  • OXENFREE
  • Link Twin
  • Mole Gem Mayhem
  • Reigns
  • Reigns: Three Kingdoms
  • Rocket
  • Story Warriors: Fairy Tales
  • The Almost Gone
  • Underwatermelon: Fruit Merge
  • Centipede Recharged
  • Caverns of Mars Recharged
  • Too Hot To Handle 3

Dalam ujian saya, semua permainan masih tidak boleh dimainkan dan masalah sambungan Internet kerap muncul. Menurut Netflix, jika perkhidmatan sedang dikemaskini atau sedang diselenggara permainan tidak boleh dimainkan. Saya juga difahamkan penggunaan VPN turut tidak boleh mengakses Netflix Games Beta berbeza dengan kandungan video.

Komen