Amerika Syarikat Menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat – Berminat Membeli TikTok
Effi Saharudin
Adakah masa depan TikTok kelak ialah menjadi platform milik kerajaan Amerika Syarikat? Jawapannya mungkin ya selepas Presiden Donald Trump mengumumkan penubuhan dana kekayaan berdaulat Amerika Syarikat semalam. Menurut Trump kini tiba masanya untuk Amerika mempunyai dana kekayaan berdaulatnya tersendiri seperti yang dilakukan oleh negara Timur Tengah dan Asia dengan TikTok mungkin akan menjadi antara pembelian terawal.

Jabatan Perbendaharaan dan Perdagangan diberikan masa 90 hari untuk mengemukakan pelan penubuhan dana ini termasuk cadangan mengenai mekanisme pembiayaan, strategi pelaburan, struktur dana dan model tadbir urus.
Dana akan dibentuk hasil daripada pengumpulan bayaran tarif baharu yang diumumkan oleh pentadbiran Trump sejak dilantik menjadi presiden dua minggu lalu. Selain membeli TikTok, dana turut akan digunakan untuk projek infrastruktur seperti lebuhraya, pengeluaran dan kajian sains.
Seminggu lalu Perplexity menunjukkan minat untuk membeli TikTok dengan 50% pegangan akan diberikan kepada kerajaan Amerika Syarikat. Sejurus selepas mengangkat sumpah, Trump melanjutkan tempoh jualan TikTok selama 75 hari lagi bagi mengelakkan platform media sosial ini diharamkan daripada beroperasi di Amerika Syarikat.
[sumber] Reuters [/sumber]