Lebih kurang satu bulan lagi sebelum siri Nothing Phone (3a) dilancarkan, sudah ramai tidak sabar akan kemunculannya. Kini ada banyak berita palsu, maklumat tertiris dan terbaru ada aktiviti jenayah berlaku di mana peranti prototaip Phone (3a) telah cuba dirampas oleh peragut.

Akis Evangelidis iaitu pengasas bersama Nothing yang pernah kami menemuramah beliau mengenai Essential, berkongsi di X mengenai pengalaman cubaan meragut ini. Phone (3a) telh cuba diragut dari tangan beliau, namun gagal dan disyaki adalah bertujuan untuk meniriskan maklumat mengenai peranti tersebut.

Kes ini berlaku di sekitar bandar London dan telah dibantu oleh pasukan Metropolitan Police. Dalam cubaan meragut, dua peranti lain turut ditemui yang kelihatan seakan sebuah Samsung Galaxy S24 Ultra dan iPhone 15 Pro atau mungkin iPhone 16 Pro.

Siri Nothing Phone (3a) akan dilancarkan di acara MWC Barcelona 2025 pada 4 Mac 2025. Tidak banyak maklumat yang dikongsi selain mengenai kofigurasi tri-kamera pada bonggol seakan bar kamera Google Pixel versi mini. Kemudian adalah butang tambahan baharu, sistem Glyph lebih kemas dan ringkas, skrin OLED 120Hz bersaiz 6.8″, bateri 5000mAh dengan pengecasan 45W, kamera 50+50+8 Megapixel, dan menjalankan Nothing OS lebih baharu.