Carian
Eksklusif Bersama Pengasas Bersama Nothing Akis Evangelidis – Kenapa Mereka Mengambil-Alih Essential?
July 17, 2023 Fahim Zahar

Ramai yang mengenali jenama Nothing kerana Carl Pei. Tahukah anda terdapat seorang lagi bekas eksekutif OnePlus yang turut membangunkan Nothing bersama-sama dengan Carl Pei? Beliau adalah Akis Evangelidis. Akis Evangelidis sebelum ini bekerja sebagai naib presiden OnePlus di Perancis dan telah berkhidmat untuk jenama bawah BBK Electronic ini lebih 5 tahun.

Semasa pelancaran Nothing Phone (2) di Malaysia, saya sempat berbual dengan beliau dan soalan yang saya tujukan adalah mengenai kenapa Nothing mengambil-alih Essential iaitu pengeluar telefon pintar Essential PH-1?


Amanz – Kenapa Nothing mengambil-alih Essential dua tahun lepas?

Akis Evangelidis – Kami percaya akan misi dan visi yang Essential cuba bawakan. Antaranya adalah ekosistem terbuka yang tidak terhad kepada jenama sendiri tetapi juga aksesori pihak ketiga. Selain itu konsep Essential itu yang membawa maksud “mustahak” atau “asas” sesuai dengan apa yang Nothing cuba bawakan. Misalnya Nothing OS 2.0 yang ringkas tetapi padat dengan ciri dan fungsi.

Nothing hanya ingin menjadikan teknologi kembali seronok. Dengan mengembalikan ciri asas pada telefon pintar seperti Glyph Interface iaitu alternatif kepada lampu LED notifikasi yang dahulunya popular pada kebanyakan peranti Android serta komposer nada dering seakan polifonik pada Nokia 3310 – tetapi dalam penggunaan yang lebih unik dan boleh menjadi perbualan orang ramai.

Amanz – Nothing kini memiliki semua paten Essential, apa teknologi mereka yang telah diintegrasikan kepada produk Nothing?

Akis Evangelidis – Tiada lagi sebenarnya selain konsep Android stok. Essential dahulu menjalankan Android stok dengan hanya beberapa aplikasi terbina. Nothing juga begitu cuma dengan lebih banyak aplikasi tersendiri tanpa memerlukan pengguna memuat turun aplikasi pihak ketiga.

Amanz – Adakah Nothing merancang untuk melancarkan produk-produk yang Essential tidak pernah lancarkan, misalnya speaker? Beberapa bulan lepas speaker Nothing tertiris, adakah itu mempunyai teknologi Essential?

Akis Evangelidis – Betul kami memiliki semua paten Essential sekarang. Tetapi buat masa ini kami belum ada perancangan untuk melancarkan produk yang gagal dilancarkan Essential. Contohnya adalah Essential Home, speaker pintar dengan skrin bulat.

Untuk speaker yang tertiris kami masih tidak boleh kongsikan apa-apa lagi buat masa ini. Tetapi anda boleh terus ikuti kami untuk nantikan maklumat lanjut. Jika anda lihat rekaan yang mirip dengan barangan audio Teenage Engineering itu adalah kerana mereka masih rakan kerjasama kami seperti yang kami lakukan sebelum ini pada Nothing Ear (1).

Komen