Nothing Phone (1) dilancarkan tahun lalu dan kerana sistem lampu pada panel belakangnya yang unik dinobatkan sebagai telefon pintar kelas pertengahan premium terbaik oleh kami di Amanz. Dalam pasaran yang dipenuhi peranti pelanduk dua serupa, keberanian Nothing menawarkan peranti yang unik harus dipuji.
Nothing Phone (2) telah dilancarkan hari ini di Malaysia dan membawakan persoalan apakah yang baharu? Adakah siri lampu Glyph tahun lalu masih sekadar gimik? Jawapan pendek ia bukan sekadar gimik. Jawapan lebih panjangnya pula anda perlu membaca ulasan penuh ini untuk mendapatkannya.
SPESIFIKASI
Nothing Phone (2) | |
---|---|
Skrin | 6.7″ OLED LTPO, FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 8/12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256/512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50MP f/1.88, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 60p |
Kamera Swafoto | 32 Megapixel f/2.45 |
Bateri | 4700 mAh Pengecasan berwayar 45W Pengecasan nirwayar 15W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP54 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin optikal |
Harga Jualan | RM 2999(12/256GB) RM 3499 (12/512GB) |
SKRIN
Skrin 6.7″ OLED menyokong kadar segar semula 120Hz LTPO. Ini merupakan peningkatan berbanding skrin Phone (1) yang hanya menyokong kadar sedar semula 60-120Hz secara dinamik. Ada yang mengatakan “wajah” Phone (2) sama dengan iPhone 14 Pro dan saya akui ada kebenaran di sebalik kenyataan ini. Bagi mereka yang sukakan estetik Apple ini adalah bonus tetapi bezel pada Phone (2) adalah tebal jika dibandingkan dengan peranti Android lain dalam kelas yang sama.
Ia mengekalkan rekaan panel rata cuma tahun ini lubang kamera swafoto diubah ke bahagian tengah dan bukan lagi pada bucu atas sebelah kiri yang membuatkan skrin kelihatan lebih simetri. Skrin berfungsi dengan cukup lancar dan nampak pantas dengan animasi tidak sekalipun nampak tersekat-sekat. Di bawah matahari yang terang, kandungan masih mudah dibaca.
Panel menyokong paparan HDR10+ tetapi semasa peranti ini diterima oleh makmal Amanz (sekitar seminggu lalu) masih tiada sokongan HDR pada Netflix tetapi kami difahamkan ia akan diberikan di kemudian hari. Pada waktu artikel ini ditulis, sokongan HDR hanya dapat dilihat pada aplikasi YouTube dan Prime Video.
Terdapat sebuah pengimbas cap jari dari jenis optikal terbina di bawah skrin. Alangkah baiknya jika pengimbas ultrasonik yang lebih pantas dan konsisten digunakan. Lokasinya pengimbas adalah terlalu ke bawah pada pendapat kami jika dibandingkan dengan yang digunakan pada peranti Samsung, Vivo dan Xiaomi. Oleh itu jari perlu berakrobatik sedikit apabila ingin diimbas sebelah tangan.
Pengimbas cap jari ini pantas dan konsisten mengesan jari asalkan ianya tidak basah ataupun kotor. Terdapat sokongan imbasan wajah jika itu yang ingin anda gunakan tetapi ia tidak beroperasi dengan begitu konsisten dalam bilik yang gelap.
REKAAN
Rekaan tubuh sama seperti Phone (1) iaitu sisi berkotak yang tegap, tidak begitu tebal dan sedap di dalam tangan. Perubahan besar yang dilakukan ialah panel kaca lutsinar di belakang kini melengkung. Ini membuatkan peranti lebih selesa di dalam tangan jika dibandingkan dengan OnePus Nord 3. Kami tahu ada sebilangan besar pengguna yang masih tidak menggemari rekaan berkotak maka dengan panel yang lebih dibulatkan ini peranti tidak terasa terlalu besar atau tidak begitu tajam.
Terdapat butang kuasa pada sisi kanan dan dua butang laras audio pada sisi kiri. Di bawah terdapat talam untuk dwi-SIM nano, port pengecas USB-C dan salah satu daripada dua speaker stereo. Tidak seperti ura-ura sebelum ini, Phone (2) tidak mempunyai butang lungsur untuk membisukan notifikasi seperti pada peranti OnePlus dan iPhone. Turut tiada ialah pemancar infra merah dan bicu audio 3.5mm.
Panel belakang kaca tadi melindungi sistem lampu Glyph yang kini mempunyai 33 zon lampu berbeza. Rekaan lampu ini juga diubah berbanding pada Phone (1). Ini adalah bagi membolehkan kustomasi kerlipan lampu yang lebih banyak, ciri tambahan untuk notifikasi, dan melihat tahap audio apabila peranti dalam kedudukan terlangkup.
Masih hanya terdapat dua kamera sahaja di belakang dengan 50MP untuk sudut lebar dan 50MP lagi untuk sudut ultra lebar. Sensor pada lensa sudut lebar adalah Sony IMX890 yang digunakan pada OnePlus 11 manakala sensor untuk sudut lebar pula ialah Samsung JN1. Hanya lensa sudut lebar dilengkapi sistem OIS. Saiz bonggol adalah tidak besar membolehkan peranti diletakkan agak rata pada permukaan meja.
Kami harus sentuh mengenai rekaan panel belakang Phone (2) yang nampak seperti sebuah peranti futuristik. Bahagian gegelung pengecasan nirwayar dapat dilihat dengan jelas. Memudahkan pengguna untuk mengecas Phone (2) dan juga menggunakan sistem pengecasan berbalik pada TWS atau jam tangan pintar.
Tidak boleh dinafikan rekaan belakang Phone (2) walaupun banyak berkongsi dengan rekaan Phone (1) masih kelihatan inovatif. Hanya RedMagic 8 Pro Titanium sahaja kami rasa mempunyai rekaan yang hampir sama. Kami cukup sukakan rekaan ini kerana ia tidak membosankan. Sekilas pandang telefon kelihatan seperti peralatan ketenteraan daripada sebuah filem sains fiksyen.
Bateri hanya sebesar 4700 mAh yang agak kecil jika melihat pesaing dalam kelas ini dilengkapi sekurang-kurangnya bateri 5000 mAh. Pengecasan juga tidak begitu pantas sekadar 45W berwayar dan 15W nirwayar. Pengecas juga tidak disertakan dengan pembelian.
Tubuh yang cantik ini mempunyai kemampuan kalis air dan debu IP54. Sayang sekali tidak lebih tinggi tetapi lebih baik daripada tiada langsung. Dengan ini Phone (2) setanding dengan Poco F5 Pro dan OnePlus Nord 3 5G yang juga mempunyai tahap kalis air yang hampir sama.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN
Nothing OS 2 adalah berasaskan Android 12 tetapi dengan rekaan tersendiri. Ada keunikan pada reka huruf dan rekaan pelbagai widget yang ditawarkan. Perkara pertama yang disedari ialah ia berbeza daripada antaramuka Android Asli. Secara lalai ia menggunakan mod monokrom yang menarik tetapi harus saya akui membuatkan peranti sedikit sukar digunakan.
Logo pelbagai aplikasi nampak sama tanpa warna. Lihat sahaja tangkapan layar di bawah. Sedikit sukar membezakan Chrome dengan YouTube Music. Selepas lebih sedekad mencari logo Spotify berwarna hijau, apabila menjadi monokrom sukar mencarinya pada skrin peranti.
Berita baiknya ialah ada mod menggunakan warna asal atau menggunakan warna adaptif Android 13. Ini sedikit sebanyak menyelesaikan isu di atas. Satu lagi isu ialah pelbagai tetapan diletakkan di bawah menu “Customisation” yang dilakukan pada peranti Android lain. Sebagai pengguna tegar Android, tindakan Nothing meletakkan pelbagai tetapan memperibadikan peranti di bawah menu ini dan bukannya “Display” seperti pada peranti Android lain menimbulkan sedikit kekeliruan.
Nothing OS kami lihat direka untuk pengguna iOS yang berpindah ke Android dan bukannya untuk pengguna Android yang lain. Selepas dua hari baru kami boleh biasakan diri dengan pelbagai perubahan pada skrin tetapan sistem operasi ini. Terdapat juga pilihan untuk memuat turun pek ikon daripada Play Store untuk memperibadikan lagi “wajah” peranti.
Kekurangan ini terubat kerana Nothing OS 2 adalah sistem operasi yang pantas, lancar dan cantik dipandang. Rekaan widget Nothing misalnya amatlah retro-futuristik sehingga kami berharap ada pembangun yang boleh memindahkannya ke peranti Android lain. Antara widget yang menarik ialah pintasan Quick Setting terus pada skrin. Kami gunakan ciri ini untuk meletakkan Quick Setting hotspot WiFi terus pada skrin hadapan dan juga skrin kunci. Tanpa perlu dinyahkunci kami boleh aktifkan hotspot WiFi dengan pantas.
Aplikasi menghasilkan nada dering sendiri, mesin kira, perakam suara dan memasang fon telinga Nothing pula nampak sangat kacak. Sebagai peminat estetik cyberpunk kami cukup suka dengan apa yang dilakukan berbanding rekaan asal Android stok.
PENANDA ARAS – Snapdragon 8+ Gen 1
Cip Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan dengan ia dipadakan dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 512GB. Ia adalah cip mercu tahun lalu tetapi masih lagi mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding cip kelas pertengahan sedia ada. Berikut ialah markah yang dicatatkan menggunakan ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark.
Markah dibandingkan dengan OnePlus Nord 3 5G (Dimensity 9000), Poco F5 Pro (Snapdragon 8+ Gen 1) dan Oppo Reno10 Pro+ (Snapdragon 8+ Gen 1) kerana ketiga-tiga peranti ini bertarung dalam kategori yang sama.
Geekbench 6
- Nothing Phone (2) – 1734/4576
- OnePlus Nord 3 5G – 1092/3337
- Poco F5 Pro – 1868/5272
- Oppo Reno10 Pro+ – 1408/3786
Antutu 3D
- Nothing Phone (2) -1,142,277
- OnePlus Nord 3 5G – 914,552
- Poco F5 Pro – 1,049,997
- Oppo Reno10 Pro+ – 1,137,709
Wild Life Extreme
- Nothing Phone (2) – 2584
- OnePlus Nord 3 5G – 2296
- Poco F5 Pro – Tiada
- Oppo Reno10 Pro+ – 2754
Markah yang dicatatkan adalah setanding dengan peranti lain yang menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1. Cip ini sudah berusia hampir setahun tetapi prestasinya masih lagi amat memuaskan. Menjalankan aplikasi biasa tiada masalah dengan tiada langsung sebarang isu dapat kami kesan. Bagi peminat permua pula, kesemua permua yang memerlukan grafik tinggi seperti COD Mobile, Asphalt 9 dan PUBG Mobile boleh dijalankan pada tetapan paling ekstrem.
Tiada isu pemanasan yang melampau sekadar panel belakang terasa suam-suam kuku Penggunaan panel lutsinar dengan lapisan tambahan untuk lampu Glyph membuatkan haba dari pemproses tidak disebarkan terus ke tangan yang memegang Phone (2). Jika anda mencari telefon pintar dengan prestasi yang baik, Phone (2) boleh diandalkan dalam pelbagai situasi harian.
TELEFONI Dan GPS
Rangkaian 5G, VoLTE dan VoWiFi bole digunakan sekiranya syarikat telekomunikasi anda menyokongnya. Sepanjang ulasan kami telah menguji Phone (2) dengan telko CelcomDigi dan Yes 5G. Panggilan suara adalah terang dan kelajuan internet juga amat pantas. Dengan sokongan WiFi 6, kelajuan internet yang pantas juga boleh dinikmati jika anda melanggannya di rumah.
Prestasi GPS juga setara kerana lokasi dapat dijejak dalam masa kurang dua saat menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps. Sebagai sebuah telefon, Phone (2) berfungsi dengan cukup cemerlang.
KAMERA
Berikut ialah beberapa sampel gambar yang diambil menggunakan kamera dalam tempoh pendek kami menggunakannya setakat ini. Kerana penggunaan sensor 50MP Sony IMX890 pada lensa sudut lebar, kami tidak terkejut gambar yang diambil amat memuaskan. Prestasinya sama dengan yang kami lihat pada OnePlus 11 dan Nord 3 yang turut menggunakan sensor yang sama.
Warna nampak hidup, kawasan dengan cahaya yang terang tidak silau dan pada waktu malam imej masih nampak terang dengan hingar yang minima. Lensa sudut ultra lebarnya juga bagus kerana menghasilkan warna yang sama dengan lensa utama. Kerana penggunaan sensor 50MP ISOCEL JN1, imej nampak tajam, terang dan memaparkan warna yang memuaskan.
BATERI
Prestasi bateri adalah sekadar memuaskan sahaja. Tidak mengecewakan kerana secara purata 7-8 jam jika menggunakan rangkaian 5G dan 8-9 jam jika menggunakan WiFi sepenuhnya. Peranti boleh bertahan sehingga 24 jam jika digunakan secara sederhana. Tahun ini kami dapat melihat prestasi lebih baik pada peranti dengan Snapdragon 8 Gen 2 maka kami sebenarnya inginkan hayat lebih panjang. Tetapi dengan bateri 4700 mAh, hayat bateri lebih baik tidak boleh dicapai.
Pengecasan pula hanya sekadar 45W berwayar dan 15W secara nirwayar. Agak perlahan jika dibandingkan dengan pesaing dan pengecasan mengambil masa sekitar sejam sahaja. Alangkah baiknya jika bateri lebih besar dan pengecasan lebih pantas diberikan. Mungkin ini hanya akan tiba dengan Phone (3) pula tahun depan.
AUDIO
Speaker stereo disertakan tetapi tanpa sebarang sokongan sistem audio. Tiada Dolby Atmos atau DTS X. Mungkin Nothing mahu berdikari tanpa membayar untuk sistem audio ditala. Hasilnya sistem speaker terasa agak kosong lebih-lebih pada tetapan audio yang lebih lantang. Kurag memuaskan dan “nothing” istimewa ditawarkan. Kemampuan speaker mungkin antara kekurangan yang paling ketara kami sedari pada Phone (2).
PESAING
Nothing Phone (2) | Oppo Reno10 Pro+ | OnePlus Nord 3 5G |
6.7″ OLED LTPO, FHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.67″ OLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.74″ Fluid AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Dimensity 9000 (4nm) 1 X 3.05 GHz Cortex X2 3 X 2.85 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Mali-G710 MC10 |
16GB LPDDR5 | 16GB LPDRR5 | 16GB RAM |
256/512 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 60p | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 64MP f/12.5, (Telefoto 5X Optikal) 4K 60p | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.3 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Kedalaman) 4K 60p |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0 |
IP54 | IP68 | IP54 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4700 mAh (Berwayar 45W) | 4700mAh (Berwayar 100W) | 5000 mAh (Berwayar 80W) |
RM 2999 (12/256GB) RM 3499 (12/512GB) | RM 3499 (12/256GB) | RM 2199 (16/256GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Nothing Phone (2)
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Nothing Phone (2) masih lagi bersandarkan gimik lampu lip lap di belakang dengan sistem operasi antaramuka yang unik. Ia dibantu oleh spesifikasi kelas mercu serta pengalaman penggunaan yang sangat lancar dan lebih penting sekali kemampuan kamera yang amat memuaskan. Dengan harga jualan bermula RM2999, ia lebih mahal berbanding OnePlus Nord 3 5G tetapi lebih murah berbanding Oppo Reno10 Pro+.
Kami sarankan kepada mereka yang mencari peranti paling unik di pasaran sekarang yang akan memberikan anda perhatian. Ia disarankan juga kerana harganya tidak melampau untuk pakej yang ditawarkan. Cuma harus menyedari hayat bateri dan sistem pengecasannya kurang cemerlang jika dibandingkan dengan dua pesaing tadi.
Pro
- Peranti dengan rekaan paling menarik perhatian di pasaran.
- Spesifikasi mercu yang memuaskan.
- Spesifikasi kamera dengan sensor yang baik.
- Kalis air IP54
- Sokongan tiga versi Android dan empat tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Pengecasan hanya 45W.
- Tiada lensa zum optikal.
- Antaramuka Nothing OS 2 bukan untuk semua.