Carian
Google Kini Membenarkan AI Mereka Digunakan Pada Senjata
February 5, 2025 Effi Saharudin

Google telah membuang frasa yang menghalang kecerdasan buatan (AI) mereka digunakan bagi tujuan menghasilkan senjata dan sistem pengawasan. Frasa ini wujud dalam prinsip asal pembangunan AI mereka pada tahun 2018 ini selepas kakitangan menganjurkan demo dan meletakkan jawatan kerana Google bekerjasama dengan tentera Amerika Syarikat dalam Project Maven untuk menganalisa data yang dikumpul dron. Perubahan ini disedari oleh Bloomberg selepas ia dikemaskini semalam.

Google Logo

Perubahan ini dilihat selari dengan pentadbiran Presiden Trump yang ingin menggunakan teknologi AI tanpa sebarang halangan yang diperkenalkan oleh pentadbiran sebelum ini. Ini sebuah lagi perubahan pada prinsip syarikat yang membuang frasa “Don’t be evil” pada tahun 2018.

Google mungkin melihat mereka tidak seharusnya duduk di sisi sedangkan pesaing mereka seperti OpenAI telahpun bekerjasama dengan syarikat pembuat dron kamikaze Anduril tahun lalu serta menubuhkan konsortium untuk membida projek ketenteraan Amerika Syarikat.

Google telahpun dibidas oleh aktivis hak asasi manusia kerana membuang 28 pekerja yang memprotes Projek Nimbus. Projek awanan antara Google dan Israel dan telah digunakan rejim Zionis untuk melakukan pemantauan serta pengumpulan data warga Palestin secara haram.

Komen