Menjadi pahlawan Jedi pasti adalah idaman ramai peminat Star Wars. Namun, ia hanya boleh menjadi imaginasi dan mimpi kerana Star Wars adalah fiksyen. Di dunia realiti, kuasa Jedi paling dekat yang semua orang boleh nikmati adalah kawalan gestur atas udara untuk peranti kegunaan harian. Terbaru, Samsung dianugerahkan paten untuk kawalan peranti yang lebih kurang sama.

Di dalam dokumen paten ini, Samsung membayangkan yang Galaxy Ring bukan sekadar peranti penjejak kesihatan tetapi juga adalah alat kawalan. Hanya menggerakkan gestur tangan di hadapan skrin Galaxy Tab, ia boleh disambungkan terus kepada Galaxy Book. Kemudian ia turut boleh digunakan untuk kawalan skrin dan yang paling menarik adalah ciri perkongsian fail seakan Huawei iaitu hanya genggam dan lepas.

Secara teorinya sekarang, Samsung boleh sahaja memperkenalkan ciri ini dengan memberi kamera Galaxy Book dan Galaxy Tab kemampuan mengesan jari pengguna memakai cincin dan mengaktifkan ciri ini. Namun ia pasti tidak efisien dan tidak lancar. Jadi mungkin Galaxy Ring generasi baharu nanti boleh ada sokongan Bluetooth, radio atau lain-lain untuk kawalan seakan Air Command pada S Pen yang telah dibuang pada Galaxy S25 Ultra.