Carian
Google Gemini Deep Research Kini Tersedia Di Dalam Aplikasi Untuk Mudah Melajukan Penyelidikan
February 5, 2025 Fahim Zahar

Google Gemini Deep Research adalah salah satu ciri ejen AI yang Google cuba bawakan. Ia membantu pengguna melakukan kajian di Internet, dengan melayari sendiri banyak laman web serentak dan menjana laporan lengkap dengan sumber. Selepas berbulan terhad di versi web, ia kini ditawarkan pada aplikasi.

Jika anda menggunakan peranti Android, aplikasi Gemini kini mempunyai pilihan model 1.5 Pro with Deep Research. Selepas anda tanya apa jua soalan atau perkara yang ingin dikaji, Gemini dengan pantas akan memberi proses kajian dan masa 5 minit atau kadangkala lebih 10 minit akan digunakan untuk menjana laporan. Ia mungkin boleh menjadi lebih lama jika proses kajian dan sumber yang ingin dikaji lebih kompleks.

Setiap laporan yang dijana turut boleh dieksport ke Google Docs. Kemudian soalan lanjutan atau ada perkara lain yang ingin ditambah di atas subjek kajian yang sama, Gemini turut boleh membantu menjawab. Penggunaan Gemini Deep Research walau bagaimanapun ada had. Gemini akan mengeluarkan notifikasi jika penggunaan mencapai had, tetapi tidak mendedahkan apakah hadnya.

Dalam model ini, ciri memuat naik fail dan Gemini Live dimatikan. Di dalam aplikasi Gemini, model baharu iaitu 2.0 Flash yang lebih pantas dan berkuasa turut kini boleh diakses.

Komen