Vivo V50 Akan Mempunyai Kamera Utama 50MP Dengan ZEISS
Amy Maizuraa
Vivo telah menerbitkan laman web rasmi untuk peranti baharu V50. Ia mendedahkan beberapa butiran penting seperti rekaan, pilihan warna, konfigurasi kamera, kapasiti bateri dan perisian. Vivo juga masih bekerjasama dengan ZEISS yang memberi tumpuan kepada persediaan perkakasan kamera yang menarik dalam kelasnya.

Vivo V50 menggunakan tubuh serba nipis dengan bahagian sisi dibulatkan bagi tujuan keselesaan yang berpanjangan. Ia juga boleh didapati dalam tiga pilihan warna seperti Titanium Grey, Rose Red dan Starry Blue. Selain itu mempunyai dwi-sensor utama 50MP dengan teknologi ZEISS dan OIS. Terdapat juga AI Studio Light Portrait 2.0 di bahagian belakang peranti yang direka untuk menerangi gambar portrait dengan lebih sekata berbanding LED Flash biasa. Pada dasarnya ia hanyalah ciri aura light yang pernah dipopularkan sejak model V27.

Terdapat juga penarafan kalis air IP68/69 yang bermakna peranti ini dilindungi daripada habuk dan air, di samping tahan semburan air bertekanan tinggi. Meskipun nipis, Vivo masih mampu memuatkan bateri besar 6,000mAh yang boleh dicas semula melalui pengecasan pantas 90W. Ini peningkatan lebih baik berbanding siri V40 sebelum ini yang dilengkapi bateri 5500mAh.
Masih belum jelas mengenai tarikh pelancaran justeru pastikan anda terus mengikuti perkembangan terkini dari masa ke semasa mengenai peranti baharu Vivo ini. Dalam pada itu, peranti juga berpotensi ditawarkan di Malaysia memandangkan telah melepasi pengesahan SIRIM sejak 24 Januari lalu.