Carian
Google Search Sedang Menguji ‘AI Mode’ Yang Memberikan Terus Jawapan Dicari
February 6, 2025 Fahim Zahar

Carian Google Search anda kelak akan sekali lagi mengalami perubahan besar dengan pengenalan “AI Mode”. Menurut laporan 9to5Google, AI Mode kini sedang diuji oleh kakitangan Google sahaja secara tertutup. AI Mode adalah seperti AI Overviews sebelum ini tetapi membolehkan carian dilakukan dalam bentuk soalan berantai bagi mendapatkan jawapan terus dari Google Search tanpa pengguna yang sebelum ini perlu menekan pautan ke laman web yang boleh memberikan jawapan yang diperlukan.

AI Mode membolehkan jawapan yang lebih terperinci dicari menggunakan Search dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) Gemini 2.0. Sebagai contoh pengguna boleh mencari jawapan berapakah berat spageti yang diperlukan untuk dimakan oleh enam orang dewasa dan 10 kanak-kanak. AI Mode akan terus memberikan jawapan yang dikehendaki dengan ia turut memberikan langkah kerja yang dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Minggu ini CEO Google, Sundar Picha telahpun mengatakan masa depan Search ialah ia mempunyai kemampuan berinteraksi seperti pembantu peribadi yang memberikan jawapan. Dengan ujian AI Mode sudah dimulakan, ciri ini mungkin akan diperlihatkan secara rasmi semasa Google I/O yang lazimnya berlangsung pada bukan Mei. Sebelum dilancarkan ujian perlu dilalukan bagi mengelakkan ia memberikan jawapan merepek yang memalukan seperti AI Overviews tahun lalu.

Ciri ni walaupun menarik untuk pengguna, adalah berita buruk bagi pemilik laman web kerana Search tidak lagi memberikan trafik menerusi pautan laman. Pautan ke laman hanya diletakkan di dalam kotak kecil di sisi kanan sehingga hampir sukar dilihat. Jika jawapan terus diberikan oleh Search, tiada sebab untuk pengguna melawat laman web yang menjadi sumber maklumat asal.

Komen