Carian
Oppo Find N5 Bakal Dilancarkan Dalam Dua Minggu Lagi
February 6, 2025 Amy Maizuraa

Peranti skrin boleh lipat Oppo Find N5 baharu akan diumumkan dua minggu akan datang. Memaklumkan perkara itu, pengurus produk, Zhou Yibao berkata, penawaran peranti juga akan dikembangkan ke peringkat global sama seperti yang pernah dilakukan untuk siri Find N3.

Jelasnya lagi, pelancaran juga akan berlangsung secara serentak di seluruh dunia dan keadaan ini merupakan kali pertama berlaku sejak siri berkenaan mula diperkenalkan. Ketersediaan peranti secara global mula menimbulkan persoalan tentang OnePlus Open 2. Ia boleh disebabkan oleh OnePlus Open sebelum ini hanyalah sebuah Find N3 yang dijenamakan semula.

Perkara yang sama dijangka boleh berlaku pada model kali ini. Sekiranya perancangan itu dibuat maka OnePlus Open 2 berpotensi hanya ditawarkan dalam beberapa pasaran tertentu. Lebih banyak maklumat boleh didedahkan dalam masa terdekat. Pastikan terus mengikuti perkembangan terkini dari masa ke semasa untuk ketahui lebih lanjut mengenai peranti baharu Oppo ini.

Komen