Kalau anda ada sekitar RM1,500 tambahan, anda boleh membeli aksesori baharu ini untuk mengubah iPhone menjadi kamera Leica. Apakah aksesori ini dan siapa yang mengeluarkannya? Ia adalah Lux Grip keluaran Leica sendiri untuk digunakan bersama aplikasi kamera iOS mereka Lux.

Leica Lux Grip adalah pemegang yang disambungkan di belakang iPhone melalui MagSafe untuk memberi cengkaman seakan kamera DSLR. Ia menyertakan butang fizikal yang boleh diubahsuai, pengatup dua tahap, dan roda kawalan untuk penggunaan seakan kamera Leica sebenar. Aksesori ini dibina dengan kerangka aluminium, mempunyai kemasan hitam premium, boleh dipusingkan sama ada untuk menggunakannya secara menegak atau melintang dan sayang sekali tiada titik ikonik merah Leica.

Leica Lux Grip ini mempunyai bateri 300mAh terbina yang menyokong sehingga 1,000 kali rakaman. Ia boleh dicas semula selama 2 jam melalui USB-C. Aksesori ini dijual secara rasmi pada harga $320 (~RM1,460). Terdapat kerangka pelindung kulit dijual secara berasingan yang berharga $70 (~RM310).
Leica menggalakkan pengguna menggunakan Lux Grip bersama dengan aplikasi Lux mereka. Ia percuma untuk digunakan, tetapi mengakses ciri dan fungsi penuh memerlukan langganan bermula RM29.90 sebulan.