Carian
Meta Menggunakan Karya Cetak Rompak Sebesar 81.7 TB Untuk Melatih AI
February 7, 2025 Effi Saharudin

Sebelum ini kami laporkan Meta disaman oleh penulis Richard Kadrey, Christopher Golden dan pelawak Sarah Silverman kerana didakwa menggunakan harta intelek mereka untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) LLama. Terkini menurut laporan ArsTechnica, emel yang dihantar oleh kakitangan Meta menunjukkan mereka memuat turun sekurang-kurangnya 81.7 TB karya yang dicetak rompak menerusi Torrent. Data dimuat turun adalah daripada pustaka cetak rompak Library Genesis (LibGen).

Dalam emel yang kini menjadi bahan bukti kes sama, seorang kakitangan Meta Research Nikolay Bashlykov mengatakan muat turun Torrent menggunakan komputer syarikat adalah “perbuatan yang dirasakan salah”.

Sebelum ini Meta mengatakan menggunakan data LibGen jatuh ke dalam penggunaan yang dibenarkan (fair use). Tetapi pihak pendakwaraya mengatakan apabila Meta menggunakan Torrent, data tersebut akan dikongsi kepada pengguna cetak rompak lain menerusi ciri seeding. Oleh itu Meta terlibat dalam penyebaran karya cetak rompak yang salah di sisi undang-undang.

Library Genesis ialah projek perpustakaan digital yang mengandungi 2.4 juta buku bukan fiksyen, 2.2 juta buku fiksyen, 80 juta artikel majalah sains, 2 juta komik dan 0.4 juta majalah. Laman LibGen telah beberapa kali dihalang dan ditutup kerana menawarkan akses karya cetak rompak secara percuma. Ia telah diarahkan membayar ganti rugi $30 juta kepada penerbit tahun lalu walaupun tiada siapa tahu siapakah pengendalinya.

Komen