Paten Untuk Joy-Con Baharu Didedahkan Dengan Fokus Kepada Penggunaan Tetikus
Fahim Zahar
Bulan lepas, Nintendo telah mengacah kehadiran konsol permainan mudah alih baharu mereka Switch 2. Selain rekaan baharu, skrin lebih besar, dan mungkin menawarkan prestasi lebih pantas – Joy-Con serba baharu turut kelihatan. Terbaru, paten menjelaskan butiran Joy-Con ini didedahkan.

Berdasarkan video acah, Joy-Con dilihat akan menggunakan sambungan magnetik baharu. Ia turut akan menyokong aksesori magnetik lain seperti tali pemegang. Lebih unik, Joy-Con turut dilihat boleh digunakan seakan tetikus sama seperti Lenovo Legion Go. Cuma, permainan apa yang disokong tidak diketahui lagi. Dalam dokumen paten yang didedahkan, Joy-Con baharu memang akan memfokuskan kepada penggunaan seakan tetikus. Sehingga mungkin akan ada aksesori lain atau alat kawalan lain khusus untuk kawalan ini.

Satu lagi yang didedahkan di dalam paten ini adalah Joy-Con yang diletakkan di sejenis permukaan atau pad. Ia mungkin adalah dermaga pengecas kerana ada port pengecasan boleh dilihat. Nintendo Switch 2 dijangka akan dilancarkan pada sekitar bulan April nanti. Sama-sama kita nantikan.
[sumber] The Verge [/sumber]