Apple iPhone SE 2025 akan menjadi model baharu siri ini buat pertama kalinya sejak 2022. Seperti yang telah kami laporkan awal pagi tadi, SE 2025 akan menggunakan rekaan Face ID, tiada lagi butang fizikal di depan, cip A18, satu kamera sahaja dan dicas menggunakan USB-C. Hari ini gambar sebesar telefon pintar ini tertiris menerusi rekaan kerangka Spigen.

Ia mengesahkan kesemua ura-ura di atas kecuali penggunaan Apple A18 yang masih sekadar spekulasi. Namun begitu kerangka lutsinar ini mengesahkan juga iPhone SE 2025 tidak mempunyai butang Camera Control pada sisi kanan seperti siri iPhone 16. Pada kerangka Spigen untuk siri iPhone 16 terdapat lekuk pada sisi kanan yang jelas tiada pada kerangka dalam imej di atas.

Ura-ura terbaru mengatakan iPhone SE 2025 akan dilancarkan seawal esok mengikut waktu Malaysia. Ia akan dijual pada harga lebih mampu milik tetapi masih boleh menjalankan Apple Intelligence yang tidak boleh dilakukan oleh siri iPhone 15 yang bukan Pro dan ke bawah.