Carian
NotebookLM Plus Kini Disertakan Dalam Pelan Google One AI Premium – Bermula RM97.99 Sebulan
February 12, 2025 Fahim Zahar

NotebookLM adalah salah satu perkhidmatan kecerdasan buatan generatif oleh Google yang menarik untuk digunakan. Hanya masukkan artikel, pautan web, pautan video atau apa-apa fail teks seperti PDF dan sebagainya – ia boleh menjana podsiar yang disampaikan oleh dua hos AI. Disember tahun lepas, mereka memperkenalkan NotebookLM Plus dan ia kini disertakan dalam pelan Google One AI Premium.

Tahun lepas, ketika awal pengenalan kepada NotebookLM Plus ia hanya terhad kepada pengguna perusahaan. Baru-baru ini, Google secara senyap telah menambahnya ke dalam pelan Google One AI Premium. Dengan kata lain, jika anda telah melanggan pelan ini anda akan dapat akses kepada NotebookLM Plus tanpa sebarang caj tambahan.

Dengan pelan ini pengguna boleh menjana 20 podsiar berbanding pelan percuma yang terhad kepada 3 sahaja. Kemudian 500 buku nota berbanding 100, 500 perbualan berbanding 50, dan 300 sumber berbanding 50 dalam masa satu hari. Melalui pelan ini, ciri perkongsian perbualan dan tetapan Advanced chat serta menganalisa buku nota akan diberikan.

Bukan itu sahaja, pada masa yang sama kini semua pelan Google One dengan storan 2TB ke atas akan menyertakan akses kepada Gemini Advanced dan NotebookLM Plus. Harga langganan di Malaysia adalah bermula RM97.99 sebulan. Jika anda adalah kali pertama melanggan, sebulan percuma akan diberikan.

Komen