Carian
Apple Dilaporkan Akan Membuka Kilang iPhone Di Indonesia
February 13, 2025 Effi Saharudin

Adakah strategi Indonesia menolak pelaburan daripada Apple sebelum ini akan membuahkan hasil? Menurut laporan Nikkei Asia, Apple sedang melakukan perbincangan dengan rantaian bekalan bagi membolehkan kilang pemasangan iPhone dibuka di Indonesia. Dengan pemasangan domestik, Apple akan akhirnya memenuhi keperluan 35% produk tempatan yang diperlukan Indonesia sebelum peranti boleh dijual. Jika laporan ini tepat, Indonesia akan menjadi negara kedua Asia Tenggara mempunyai kilang pemasangan iPhone selepas Vietnam.

Sejak tahun lalu jualan siri iPhone 16 diharamkan di Indonesia kerana Apple tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh kerajaan. Sebelum ini Apple sudahpun menjanjikan pelaburan $1 bilion untuk membuka kilang pengeluaran AirTag di Batam. Pihak Apple dan kerajaan Indonesia sudah melakukan pelbagai perbincangan bagi membenarkan jualan iPhone 16 dimulakan.

Indonesia ialah pasaran telefon pintar keempat terbesar dunia dengan ia mempunyai lebih 280 juta penduduk. Ini memberikan Indonesia kelebihan untuk meletakkan syarat kepada syarikat luar yang ingin memasarkan produk mereka. Sebagai perbandingan Malaysia hanya mempunyai sekitar 33 juta penduduk.

Komen