Garmin Descent G2 Dijual Di Malaysia Dengan Harga RM3,459
Amy Maizuraa
Garmin Descent G1 telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2022 dengan edisi khas dengan panel Solar pula ditawarkan setahun selepas itu. Terbaharu model kemaskini Descent G2 pula diumumkan dengan penambahbaikan berbanding sebelum ini.


Antaranya seperti skrin lebih besar yang kini berukuran 1.2” dengan resolusi 390 X 390. Ia juga diperakui dengan penarafan kalis air 10 ATM yang boleh dibawa berenang pada kedalaman 100 meter. Sokongan untuk pelbagai mod menyelam juga disediakan yang termasuk Dive Readiness, Dive Log Tracking dan Dive Compass. Ia juga mudah dinavigasi di bawah paras air melalui fungsi 3-Axis Compass terbina, manakala ciri Tide Data pula boleh memastikan pengguna kekal peka terhadap keadaan air untuk memastikan ia sesuai untuk menyelam.


Descent G2 juga boleh digunakan untuk kebanyakan ciri Kesihatan dan kecergasan lain. Misalnya seperti penjejakan langkah harian, jumlah kalori yang dibakar, tahap tekanan harian, kadar denyutan jantung dan lain-lain. Pengguna turut boleh memilih lebih daripada 1600 jenis Latihan dalam aplikasi Garmin Connect sebagai fungsi tambahan lain.

Descent G2 turut dilengkapi Garmin Pay yang membolehkan pengguna melakukan pembayaran secara nirwayar. Fungsi lain yang turut melengkapi jam ini termasuk kebolehan membuat panggilan telefon, membalas mesej ringkas, mengawal audio muzik dan sebagainya, Garmin Descent G2 dijual di Malaysia dengan tanda harga RM3,459 bermula 21 Februari 2025.