Perang dingin ekonomi diantara Amerika Syarikat dan China nampaknya berterusan, dengan China dilaporkan akan menghentikan eksport bahan yang dinamakan “sorbent“, yang secara lazimnya digunakan untuk menyerap cecair dan juga gas dari bahan-bahan mentah.
Menurut laporan Reuters, Jiangsu Jiuwu Hi-Tech, sebuah syarikat China yang mengeluarkan bahan sorbent ini telah mengeluarkan kenyataan kepada pelanggan-pelanggan luar negara mereka, khususnya di Amerika Syarikat bahawa mereka akan menghentikan pengeluaran penapis sorbent ini bermula bulan ini, secara lazimnya digunakan untuk menapis litium apabila ia dilombong.
Ini berikutan kenyataan yang dibuat oleh kerajaan China sebelum ini untuk menyekat eksport bahan dan juga kelengkapan yang diperlukan untuk menghasilkan bateri litium, khususnya untuk tujuan digunakan bersama kenderaan elektrik.
Kerajaan China belum lagi membuat keputusan samada mereka mahu membuat sekatan ini rasmi ataupun tidak, tetapi sebuah lagi syarikat pengeluar sorbent, iaitu Sunresin New Materials juga nampaknya sedang berbincang dengan pihak kerajaan tentang isu ini.

Kebarangkaliannya, sama seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat keatas syarikat-syarikat mereka, China akan memperkenalkan permit untuk tujuan pengeksportan komponen ini, dan mungkin untuk komponen-komponen lain di masa hadapan.
Terdapat juga syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dan lokasi-lokasi lain yang mengeluarkan komponen sorbent ini, akan tetapi hanya segelintir daripada mereka mempunyai komponen penuras yang cukup berkesan untuk menuras litium untuk digunakan sebagai sebuah bateri.
Syarikat seperti TechMet yang juga mengeluarkan sorbent ini mengatakan bahawa cara dan teknologi yang digunakan untuk menghasilkan sebuah produk yang boleh menuras bahan seperti litium adalah “rahsia” yang dipegang oleh syarikat-syarikat China, dan tidak banyak syarikat lain yang ada kemampuan seperti ini.
Vulcan Energy Resources yang berpengkalan di Australia adalah salah satu syarikat ini, dan mereka dilihat akan menguji kemampuan sorbent mereka yang akan diuji di Jerman, dan ia juga dilaporkan bahawa terdapat banyak syarikat pengeluar litium yang mahu menggunakan perkhidmatan mereka.