Carian
Ulasan Samsung Galaxy S25+ – Pixel Yang Lebih Ceria
February 27, 2025 Fahim Zahar

Akhirnya, selepas memaksa diri menggunakan Google Pixel 9 Pro XL selama hampir setengah tahun, saya telah menemui penggantinya dalam bentuk Samsung Galaxy S25+. Di dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan peranti ini selepas satu bulan dan jika anda ingin tahu adakah ianya berbaloi, jemput baca sehingga penghujungnya.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

SKRIN6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, 1440 x 3120
120Hz, HDR10+, 2600 nits
Gorilla Victus 2
CPUSnapdragon 8 Elite For Galaxy (3nm)
2x 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
GPUAdreno 830
MEMORI12GB RAM LPDDR5X + 12GB RAM Maya
STORAN256GB UFS 4.0
KAMERA BELAKANG50 MP, f/1.8, (Lebar), OIS
10 MP, f/2.4, (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal
12 MP, f/2.2, 120˚ (Ultra-Lebar)

Super Steady video
KAMERA HADAPAN12MP f/2.2
AUDIOStereo, AKG
BIOMETRIPengimbas cap jari bawah skrin
Ultrasonik
SISTEM OPERASIOne UI 7, Android 15
Kemaskini 7 Tahun
SAMBUNGANWiFi
Bluetooth 5.4
PERLINDUNGANIP68
BATERI4,900mAh
45W Berwayar
15W Nirwayar (Qi2 Ready)
4.5W Nirwayar Berbalik
HARGARM4,999 (12/256 GB)
RM5,999 (12/512 GB)

Icy Blue, Mint, Navy, Silver Shadow
Pink Gold, Coral Red, Blue Black (Eksklusif di Samsung.com

Samsung Galaxy S25+ adalah peranti yang sama dengan Galaxy S24+ yang diubah cip pemprosesannya sahaja. Lain-lain spesifikasi dan rekaan pada peranti ini adalah seperti disalin tampal daripada model tahun 2024. Samsung hanya melakukan perubahan kecil pada Galaxy S25 Ultra dan terus kekal selesa dengan rekaan tidak berubah selain hanya sedikit lebih besar berbanding Galaxy S23+. Cip yang digunakan adalah Snapdragon 8 Elite For Galaxy yang telah dilewahjam.

Apa yang anda nampak pada Galaxy S24+ masih ada pada Galaxy S25+ kecuali pilihan warna. Jika anda sudah biasa dengan rekaan ini ia tidak akan menjadi masalah, tetapi untuk saya ia sangat membosankan. Selain cip, Galaxy S25+ turut menjalankan One UI 7 baharu yang lebih segar dan menarik – tetapi ini pun akan diberikan kepada Galaxy S24 dan sebelumnya.

Saya sangat mengharapkan kalau Samsung ingin menggunakan rekaan lebih kurang sama, sekurang-kurangnya sertakan sekali butang fizikal tambahan untuk AI atau kamera. Sayang sekali, butang tambahan ini hanyalah butang kuasa yang kini tidak lagi terhad kepada Bixby tetapi sudah boleh menyeru Gemini pula.

Perkara paling layak dipuji pada peranti hanyalah rekaan yang hampir rata dengan sekata. Ia selesa untuk dipegang, mudah dikendalikan dan dengan peranti ini saya tidak kisah jika tidak menggunakan kerangka pelindung kerana ia sudah nampak murah jadi tidak perlu malu untuk bersembunyi di sebalik baju mahal.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

One UI adalah satu-satunya sistem operasi Samsung paling saya gemari. TouchWiz dan Samsung Experience bukan kegemaran saya kerana wujud pelagai isu prestasi berbanding Android asal. One UI 7.0 ini membawakan apa yang terbaik pada One UI dan menjadikannya lebih segar. Disebabkan ini, pengalaman penggunaan peranti ini menjadi hampir sempurna walaupun dalam tubuh peranti lama.

SKRIN

Skrin Dynamic AMOLED LTPO 2X pada Galaxy S25+ ini bersaiz 6.7-inci dengan kecerahan yang baik, warna yang cantik dan bagus dalam memelihara butiran. Namun, untuk peranti berharga lebih RM4,000 ia sebenarnya adalah skrin yang biasa sahaja kerana peranti mercu sekitar RM3,000 kini menawarkan skrin AMOLED LTPO lebih baik dan berkuasa.

Apa-apa pun untuk sokongan warna yang dalam, mampu memaparkan kandungan HDR dengan baik dengan kecerahan dan konsisten serta mempunyai pengalaman sentuhan bagus kerana sistem kadar segar semula adaptif yang efisien. Tidak lupa yang rekaan skrin rata yang sangat memudahkan pengguna.

Sayang sekali, skrin ini tiada faktor wow yang saya inginkan. Samsung sepatutnya meletakkan lapisan kemasan kusam yang mengurangkan kesan pantulan cahaya generasi pertama pada Galaxy S24 Ultra di sini kerana Galaxy S25 Ultra sudah menggunakan generasi kedua. Salah ke menawarkan ciri Ultra generasi lepas pada peranti mercu kelas pertengahan generasi baharu?

One UI 7.0 + Galaxy AI + Gemini Advanced

Setakat ini, Samsung telah mengesahkan yang One UI 7.0 lengkap dengan ciri dan fungsi baharu serta antaramuka yang lebih segar pada siri Galaxy S25 akan diterima oleh 61 peranti Galaxy lain. Cuma, ciri Now Bar dan Now Brief sahaja tidak boleh disertakan kerana pemprosesan data dari dalam peranti untuk ciri ini hanya ada pada cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy.

Now Brief adalah seakan Google Now dengan bantuan AI. Ia merumuskan notifikasi penting seperti kalendar, peta, cuaca, data tidur dan turut boleh mencadangkan video YouTube. Ia menarik tetapi tidak sempurna dan seakan separuh masak. Pada Now Bar, ia adalah seakan Dynamic Island tetapi dalam bentuk notifikasi pintar yang interaktif. Ia menyokong Google Maps, pengecasan, notifikasi dan banyak lagi. Malah rakaman suara, pemasa, memainkan muzik turut disokong. Pada saya ia adalah satu ciri yang bagus berbanding Dynamic Island yang terhad.

Galaxy S25+ ini masih lagi peranti yang memfokuskan kepada AI. Satu ciri yang sangat membantu jika anda ingin membelikan peranti ini untuk ibu bapa, rakan, orang tersayang atau individu yang kurang mahir dengan teknologi adalah sangat sesuai. Pada tetapan sistem, ia menyokong ciri carian AI di mana pengguna boleh mencari tetapan dengan hanya menyebutkan konteks – “settings for my friends to connect to my phone internet”, “how to check my privacy settings” dan banyak lagi akan terus membawa anda ke bahagian tetapan yang sepatutnya.

Ciri Galaxy AI lain masih kekal disokong dengan ia kini lebih mudah digunakan dan sedikit lebih pantas. Banyak ciri pada aplikasi Galeri kini digabungkan di bawah satu menu. Portrait Studio yang mengubah imej pengguna menjadi watak animasi, lakaran atau watak 3D kini hanya mengeluarkan satu hasil dalam tempoh sekitar 10-15 saat berbanding sebelum ini empat variasi dihasilkan secara serentak.

Kemudian palang sisi One UI kini menawarkan ciri AI Select yang lebih bagus. Jika dulu ia boleh membantu memangkas saiz gambar dan mencipta GIF, kini ia boleh membantu menyunting gambar dan turut menambah objek. Galaxy AI adalah lebih baik berbanding Apple Intelligence dan sedikit lebih menarik berbanding ciri AI pada Pixel 9 tetapi masih lemah berbanding ciri AI oleh pengeluar peranti China.

Akhir sekali, dalam One UI 7.0 – Samsung seakan menjadikannya satu alternatif kepada Pixel yang terbaik. Majoriti ciri Android stok dan ciri Gemini baharu kini akan diterima pada peranti Samsung dahulu sebelum Pixel. Gemini Live dengan sokongan berbincang mengenai kandungan skrin pada awalnya hanya boleh digunakan pada peranti ini. Akan datang, pasti lebih banyak akan ditawarkan oleh Samsung dahulu sebelum peranti Android lain.

PENANDA ARAS, PRESTASI DAN GAMING

Snapdragon 8 Elite for Galaxy walaupun adalah lebih berkuasa berbanding Snapdragon 8 Elite biasa kerana telah dilewahjam, pengalaman penggunaan harian di dunia sebenar langsung tiada beza. Malah, skor penanda aras pun tidak mempunyai nilai tertinggi dalam sejarah. Samsung menyatakan yang cip mereka lebih berkuasa kerana ingin memproses ciri AI dan mengoptimasi prestasi peranti secara lebih efisien.

AnTuTu 3D

  • Snapdragon 8 Elite For Galaxy – 2,192,606
  • MediaTek Dimensity 9400 – 2,312,243
  • Apple A18 Pro – 1,720,751
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
  • Apple A17 Pro – 1,542,050
  • Tensor G4 – 1,016,712
  • MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552

Geekbench 6

  • Snapdragon 8 Elite For Galaxy – 2,513/8,512
  • MediaTek Dimensity 9400 – 1,923/7,102
  • Apple A18 Pro – 3359 / 8129
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
  • Apple A17 Pro – 2793/6925
  • Tensor G4 – 1916/4644
  • MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032

Geekbench AI

  • Snapdragon 8 Elite For Galaxy – 2,028/1,871/2,618
  • MediaTek Dimensity 9400 – 1,992/1,999/2,917
  • Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
  • Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
  • Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
  • MediaTek Dimensity 9300 – N/A

3DMark Wild Life Extreme

  • Snapdragon 8 Elite For Galaxy – 5,310
  • MediaTek Dimensity 9400 – 6,008
  • Apple A18 Pro – 4560
  • Apple A18 – 3698
  • Apple A17 Pro – 3746
  • Tensor G4 – 2567
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
  • MediaTek Dimensity 9300 – 4067

Bermain permua pada peranti langsung tidak membawakan sebarang masalah. Sepanjang satu bulan penggunaan, saya tidak pernah mengalami masalah peranti memanas, sistem lengah masa atau tergendala. Samsung Galaxy S25+ dengan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy adalah pilihan terbaik. Namun, saya masih ingin tahu apakah keunikan pada cip mercu Exynos untuk peranti Galaxy seterusnya. Adakah ia boleh menandingi Snapdragon?

KAMERA

Saya tidak akan mencadangkan pengguna yang ingin memfokuskan fotografi dan videografi membeli Galaxy S25+. Sebaliknya, saya akan mencadangkan kepada mereka yang baru ingin mula berkecimpung dalam dunia penciptaan kandungan. Ini kerana ciri AI yang hebat pada peranti ini menjadikan peranti ini sebuah kamera berkemampuan. Lebih-lebih lagi pada bahagian suntingan.

Sekali lagi, banyak perkara menarik pada kamera Samsung Galaxy S25+ ini juga dipinjam atau mereka mengambil inspirasi pada kamera peranti Pixel. Sedikit inspirasi kamera iPhone turut kelihatan seperti bahagian mengawal gaya dan tona warna.

Kemampuan pasca-proses kamera peranti ini agak hebat dan pantas. Malah hasilnya juga adalah sedikit lebih baik berbanding Galaxy S24+. Cara ia mengendalikan warna kelihatan lebih bagus dan tepat. Kemampuan fokus, memelihara butiran, makro, zum, sudut ultra lebar dan mod malam juga membuatkan saya rasa puas hati sedikit.

Kemampuan mod potret juga dilihat sudah menghampiri apa yang Pixel boleh lakukan. Saya turut menggemari bagaimana kamera peranti ini mengendalikan pemprosesan kadar dinamik tinggi warna iaitu HDR. Ia konsisten dan tidak rasa janggal.

Walaupun sensor kamera peranti ini lemah dan mengecewakan, hasilnya tidak. Dengan ciri AI pada Google One, Galaxy AI dan aplikasi galeri peranti, kemampuan kamera peranti ini pasti akan menggembirakan ramai orang. Cuma selepas ulasan ini, saya tidak lagi akan menggunakan peranti ini kerana sudah ada pengganti lain.

Paparan Galeri

AUDIO, TELEFONI, 5G, GPS

Speaker peranti enak, seimbang dan lantang. Namun, ia tiada apa-apa yang baru yang boleh membuatkan saya katakan “inilah speaker fon paling berinovasi”. Ia sekadar sedap dan apa yang anda boleh jangkakan pada sebuah peranti mercu.

Kemampuan WiFi, data mudah alih 5G, Bluetooth dan GPS juga cukup stabil dan berguna. Saya tiada masalah menggunakannya untuk pelbagai tugasan penting. Kualiti panggilan A+, WiFi laju dan tidak putus-putus, Google Maps tidak sesat dan semuanya adalah hampir sempurna.

BATERI DAN PENGECASAN

Disebabkan hanya cip dan perisian sahaja yang baru, bateri peranti ini masih 4900mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 45W. Ketahanan bateri tiada masalah untuk melebihi 8-9 jam SOT atau untuk penggunaan satu hari penuh. Apa yang menarik adalah pengecasan peranti ini lebih pantas berbanding Pixel 9 Pro XL yang dijual pada harga lebih mahal. Ketahanan bateri juga adalah jauh lebih baik.

Satu perkara baru lain ditambah pada peranti ini adalah sokongan pengecasan nirwayar kini boleh digunakan bersama kerangka pelindung Qi2 Ready. Dengan aksesori ini, Galaxy S25+ boleh dicas secara nirwayar magnetik pada kuasa 15W seakan MagSafe. Waktu mengecas semula bateri adalah sekitar 70 minit tetap pengecas tidak diberikanb Samsung dengans setiap pembelian.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

Samsung Galaxy S25+OnePlus 13iPhone 16e
6.7″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, 1440 x 3120
120Hz, HDR10+, 2600 nits
Gorilla Victus 2
6.82” LTPO 4.1, OLED, 120Hz ProXDR, 1440 x 3168, 4500 nits, Dolby Vision, Ceramic Guard6.1″ Super Retina XDR OLED,
60Hz, 1170 x 2532, 1200 nits,
Ceramic Shield
Snapdragon 8 Elite For Galaxy (3nm)

2x 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Snapdragon 8 Elite (3nm)

2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L
6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Apple A18 (3nm)

2x 4.04 GHz
4x 2.20 GHz
Adreno 830Adreno 830Apple GPU 4-teras
12GB RAM LPDDR5X
12GB RAM Maya
12GB LPDDR5X
12GB Maya
8GB
256/512 GB UFS 4.0512GB UFS 4.0128/256/512 GB
Kamera Utama

50 MP, ƒ/1.8, (Lebar), OIS
10 MP, ƒ/2.4, (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal
12 MP, ƒ/2.2, 120˚ (Ultra-Lebar)
Kamera Utama

50 MP, ƒ/1.6 (Lebar), OIS
50 MP, ƒ/2.65 (Telefoto), OIS, 3x Zum Optikal, 120x Zum Digital
50 MP, ƒ/2.05 (Ultra Lebar), EIS
Kamera Utama

48 MP, ƒ/1.6, (Lebar), OIS
Kamera Hadapan
12 MP, ƒ/2.2
Kamera Hadapan
32 MP, ƒ/2.5
Kamera Hadapan
12 MP, ƒ/1.9
IP68IP68/IP69IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4,900mAh
45W Berwayar
15W Nirwayar (Qi2 Ready)
4.5W Nirwayar Berbalik
6,000 mAh Dwi-sel
Berwayar 100W
Nirwayar 50W
5,630 mAh
Berwayar 20W
Nirwayar 7.5W
Tiada MagSafe
RM4,999 (12/256 GB)
RM5,999 (12/512 GB)
RM4,399 (16/512 GB)RM2,999 (8/128 GB)
RM3,499 (8/256 GB)
RM4,499 (12/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

  • 1x Samsung Galaxy S25+
  • 1x Pin SIM
  • 1x Kabel USB-C ke USB-C
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Apa yang saya rasakan sepanjang satu bulan menggunakan peranti ini adalah Samsung seakan menawarkan alternatif Pixel yang terbaik padanya. Gemini Advanced, Gemini Live, Audio Eraser, dan ciri Android menarik lain yang biasanya eksklusif pada Pixel turut boleh digunakan pada peranti ini. Malah ada sahaja ciri Pixel yang tiada di Malaysia, tetapi pada Galaxy S25+ ada versi alternatif.

Dalam pemantauan saya, ramai pengguna Malaysia yang tidak begitu meminati teknologi tidak memilih Pixel kerana antaramuka yang membosankan. Samsung Galaxy S25+ adalah Pixel yang lebih ceria, lebih berwarna-warni dan lebih ringkas untuk digunakan. Cuma dengan harga jualan bermula RM4,999 sukar untuk saya cadangkan kepada orang ramai apabila OnePlus 13 yang lebih murah lebih menarik. Malah iPhone 16e yang baru dan lebih ringkas pun nampak lebih mengancam walaupun jelas ada banyak kekurangan.

PRO

  • One UI 7.0 yang rasa segar, seronok dan pantas.
  • Ciri dan fungsi AI yang lebih berguna dan lebih baik berbanding Apple.
  • Kemampuan kamera yang lebih baik dan lebih seronok digunakan.
  • Sokongan kemas kini 7 tahun.
  • Menawarkan banyak ciri Android dan AI menarik mirip Pixel.
  • Menyokong aksesori Qi2 Ready.

KONTRA

  • Rekaan bosan yang sama sejak Galaxy S23+.
  • Tiada kemampuan zum yang lebih baik.
  • Tiada perlindungan IP69.
  • Hanya Qi2 Ready, tiada Qi2.
  • Skrin agak lemah untuk harganya.
  • Harga jualan yang masih tinggi berbanding pesaing.
Komen