Kalau OnePlus 11 cukup andal untuk diandalkan, OnePlus 12 pula dah hampir setel, bagaimana pula dengan OnePlus 13? Setelah tiga minggu menggunakan OnePlus 13 sebagai peranti harian saya, saya mula mempersoalkan kenapa saya memilih Google Pixel 9 Pro XL menjadi peranti terbaik 2024 saya?
OnePlus 13 adalah peranti mercu OnePlus generasi baharu yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh Oppo. Boleh dikatakan, ia adalah peranti OnePlus baharu yang diolah semula oleh Oppo. Adakah ini bermakna OnePlus yang selama ini Never Settles akhirnya akan setel? Ini adalah artikel ulasan penuh.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
SKRIN | 6.82” LTPO 4.1, OLED, 120Hz ProXDR, 3168 x 1440 QHD+, 4500 nit HDR10+, Dolby Vision, Ceramic Guard |
CPU | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M |
GPU | Adreno 830 |
MEMORI | 16GB RAM LPDDR5X + 12GB RAM Maya |
STORAN | 512GB UFS 4.0 |
KAMERA BELAKANG | 50MP Sony LYT-808 (Sudut Lebar), ƒ/1.6, OIS 50MP Sony LYT-600 (Telefoto), ƒ/2.65, OIS, 3x Zum Optikal, 120x Zum Digital 50MP S5KJN5 (Sudut Ultra Lebar), ƒ/2.05, EIS Hasselblad |
KAMERA HADAPAN | 32MP Sony IMX615, f/2.5 |
AUDIO | Stereo, Dolby Atmos OReality Audio |
BIOMETRI | Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik |
SISTEM OPERASI | Oxygen OS 15, Android 15 Kemaskini 4+6 Tahun |
SAMBUNGAN | WiFI Bluetooth 5.4 (LDAC, LHDC5.0) |
PERLINDUNGAN | IP68 & IP69 |
BATERI | 6,000mAh (2x 3K mAh) 100W SuperVOOC Berwayar 50W AirVOOC Nirwayar |
HARGA | RM4,399 16/512 GB Midnight Ocean (Kulit, 210g) Arctic Dawn/Black Eclipse (Kaca, 213g) |
Sekali imbas, OnePlus 13 kelihatan masih sama seakan OnePlus 11 dan OnePlus 12 tetapi wujud beberapa perbezaan kecil. Ia kini menggunakan rekaan rata di sekeliling peranti dan pertama kali untuk OnePlus dalam peranti kategori ini disamping skrin tidak lagi melengkung. Perkara paling ketara adalah ketiadaan elemen rekaan bonggol kamera lohong hitam yang melentur terus ke sisi peranti tidak lagi digunakan.
Bonggol kamera kini berada di sisi dalam bulatan kaca. Bagi yang ada OCD, ia akan kelihatan sedikit janggal kerana bulatan yang sempurna tidak berada di tengah-tengah peranti. Ini mungkin untuk membezakan OnePlus dengan peranti Oppo yang meletakkan bonggol kamera di tengah. Bercakap mengenai Oppo, OnePlus 13 yang saya uji ini adalah berwarna Midnight Ocean dengan kemasan kulit. Ia mengingatkan saya kepada Oppo Find X7 Ultra yang pernah tiba di Makmal Amanz tahun 2024.
Secara keseluruhan, rekaan rata di sisi dengan butang yang sangat sedap ditekan adalah satu keputusan yang bijak. Suis lungsur juga mudah untuk digunakan tetapi sayang sekali, OnePlus 13 tiada butang fizikal tambahan seperti untuk kawalan kamera atau butang aksi. OnePlus 13 juga sangat selesa di dalam tangan, sehinggakan saya tidak gemar menggunakan sebarang kerangka pelindung. Kali terakhir saya rasa teruja memegang peranti OnePlus sebegini adalah ketika menggunakan siri OnePlus 7/7T.
Buat kali pertama juga, OnePlus 13 menyokong perlindungan kalis air IP68 dan juga IP69. Satu untuk kedalaman di dalam air dan satu lagi untuk ketahanan tekanan semburan air. Kemudian dengan sokongan pengecasan nirwayar pantas dikekalkan, peranti ini secara tidak langsung telah menjadi peranti mercu yang paling lengkap tahun ini.
Cip Snapdragon 8 Elite yang paling berkuasa dan peranti keempat di Malaysia dengannya, kemudian kamera 50MP Hasselblad dengan sokongan telefoto zum optikal, dan tidak lupa sokongan skrin LTPO 4.1 OLED ProXDR 120Hz yang dihasilkan oleh BOE yang menjanjikan tiada masalah light saber dengan bilah hijau seakan pahlawan Jedi muncul.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
OnePlus 13 bukan sahaja dipadankan dengan spesifikasi hebat, tetapi perisian baharu juga kembali mencuba memikat hati peminat setia. Dengan skrin yang semakin baik, OnePlus turut menawarkan Oxygen OS 15 berasaskan Android 15 dengan AI generatif Google Gemini serta AndesGPT serba baharu. Oxygen OS kali ini tidak sama dengan ColorOS atau realme UI, kerana telah diubahsuai untuk menjadi lebih ringan dan lebih efisien.
SKRIN
Saiz skrin masih sama dengan OnePlus 12, iaitu 6.82“ OLED LTPO 4.1. Ia menyokong kadar segar semula 120Hz LTPO yang lebih responsif, menyokong resolusi QHD+, kecerahan sehingga 4,500 nit dan ada sokongan Dolby Vision. OnePlus turut menggunakan kaca pelindung tersendiri Ceramic Guard yang menjamin masalah calar dan mudah retak.
Sepanjang penggunaan saya, skrin OnePlus 13 sememangnya sudah berada di tahap yang sama dengan peranti mercu mewah Samsung. Dari segi warna yang terang dan dalam, butiran yang sangat jelas, kecerahan yang terkawal dengan baik, dan sangat responsif. Dalam tempoh 3 minggu penggunaan, satu masalah lengah masa pun tidak berlaku.
Menonton filem dan pelbagai jenis video juga sangat memuaskan. Dari platform Netflix, Max, Disney+ dan YouTube – semuanya mengasyikkan. Dari segi permua juga, skrin sangat membantu dan menjadi adaptif dengan bijak seperti bila perlu rasa pantas dan bila perlu rasa ekstra pantas.
OXYGEN OS 15 + KECERDASAN BUATAN GEN BARU
Oxygen OS 15 adalah sistem operasi serba baharu OnePlus. Ramai ingatkan sejak OnePlus 11, Oxygen OS menjadi mirip ColorOS. Kemudian realme UI juga menjadi ColorOS. Sebenarnya, selepas OnePlus menjadi sub-jenama Oppo – kod-kod pembangunan Oxygen OS diserap masuk ke dalam ColorOS dan realme UI. Pasukan pembangun OnePlus yang lepas telah membuktikan, kod pengoptimasian mereka sangat hebat dan efisien berbanding kod ColorOS sendiri.
Dengan teras sistem Trinity Engine baharu, memori maya sehingga 12GB RAM, penggunaan sistem tema Flux baharu dan pengoptimasian dengan AI – Oxygen OS 15 turut akan mempunyai pengalaman lancar dan pantas yang tidak boleh dirasai pada peranti pesaing. Peralihan animasi yang sangat pantas dan konsisten yang selama ini dirasai pada iPhone sahaja, kini boleh dirasai pada peranti Android melalui OnePlus 13.
Oxygen OS 15 juga tiada aplikasi gendut yang melampau, dua aplikasi OnePlus tersendiri iaitu OnePlus Store dan OnePlus Community boleh dibuang. Kemudian majoriti aplikasi lain turut boleh dibuang atau terus dimatikan dalam sistem tanpa gangguan storan dan pengurusan memori.
Menggunakan OnePlus 13 membuatkan saya tertanya kepada Google yang membangunkan Android sendiri dan mempunyai peranti mercu mewah sendiri. Kenapa Android stok tidak boleh rasa pantas seperti ini. Maaf, saya sebenarnya meluahkan rasa tidak puas hati membeli Pixel 9 Pro XL yang RM2K lebih mahal berbanding OnePlus baharu ini.
Gandingan OnePlus 13 dan Oxygen OS 15 sememangnya langkah tepat untuk cuba memikat kembali hati peminat setia lama yang mungkin telah lama kecewa dan beralih ke pesaing. Apa lagi strategi OnePlus untuk tahun 2025? Sudah semestinya AI generatif.
- AI Speak
- Ciri AI yang boleh membaca dan merumuskan kandungan terpapar pada skrin.
- AI Summary
- Ciri AI menjana transkrip teks daripada rakaman suara dan merumuskannya dalam teks ringkas.
- AI Writer
- Ciri AI yang boleh membantu pengguna menulis seperti semak ejaan, ubah nota, ubah format dan banyak lagi.
- AI Editor
- Ciri suntingan AI yang sama dalam siri Find X8 dan siri Reno13;
- AI Detail Boost yang boleh meningkatkan butiran.
- AI Eraser untuk memadam objek tidak diingini dalam gambar.
- AI Unblur untuk mengurangkan kesan kabur manusia dalam imej.
- AI Reflection Eraser yang boleh membuang kesan pantulan dalam cermin.
- Ciri suntingan AI yang sama dalam siri Find X8 dan siri Reno13;
- Ask AI
- Ciri terbina dalam OnePlus Shelf yang dijana AI, seakan Siri baharu – boleh tanya soalan mengenai peranti dan terus akses tetapan sistem.
- Sekarang ia dijana Gemini, akan datang ia akan menggunakan AndesGPT sepenuhnya.
- Gemini dan AndesGPT
- Google Gemini masih menjadi model utama untuk AI generatif, lagi-lagi pemprosesan dari dalam peranti. Akan datang, OnePlus akan menggunakan AndesGPT sepenuhnya dengan model Google terhad kepada chatbot Gemini sahaja.
- Circle to Search
- Satu lagi ciri AI Google yang tidak boleh dilupakan. Teknologi terbaik 2024 oleh ketua editor Amanz, En. Effi – iaitu ciri carian yang sangat membantu dan tiada hasil carian yang halusinasi sehingga mengelirukan pengguna.
PENANDA ARAS, PRESTASI DAN GAMING
Pada awalnya saya agak kecewa yang selepas 2-3 ujian penanda aras dilakukan, skor yang diterima nampak rendah. Apa yang mengejutkan, selepas berkali ujian dan terus memainkan beberapa permua – OnePlus 13 turut masih belum memanas atau lengah masa. Terus saya terfikir akan sistem Trinity Engine dan pengurusan memori baharu Oxygen OS yang akan kekal memastikan peranti pantas walaupun dengan tugasan berat. Lagi pun, skor penanda aras hanyalah nombor semata-mata dan penggunaan di dunia sebenar lebih nyata.
AnTuTu 3D
- Snapdragon 8 Elite – 2,274,481
- MediaTek Dimensity 9400 – 2,312,243
- Apple A18 Pro – 1,720,751
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Apple A17 Pro – 1,542,050
- Tensor G4 – 1,016,712
- MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
Geekbench 6
- Snapdragon 8 Elite – 2,826/8,519
- MediaTek Dimensity 9400 – 1,923/7,102
- Apple A18 Pro – 3359 / 8129
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Apple A17 Pro – 2793/6925
- Tensor G4 – 1916/4644
- MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
Geekbench AI
- Snapdragon 8 Elite – 1.935/1,924/1,854
- MediaTek Dimensity 9400 – 1,992/1,999/2,917
- Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
- Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
- Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
- Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
- MediaTek Dimensity 9300 – N/A
3DMark Wild Life Extreme
- Snapdragon 8 Elite – 6,257
- MediaTek Dimensity 9400 – 6,008
- Apple A18 Pro – 4560
- Apple A18 – 3698
- Apple A17 Pro – 3746
- Tensor G4 – 2567
- Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
- MediaTek Dimensity 9300 – 4067
Skor penanda aras ini adalah sedikit lebih rendah berbanding vivo X200 Pro, tetapi menghampiri Oppo Find X8 Pro. Sayang sekali, peranti lebih murah iaitu realme GT7 Pro dan iQOO 13 mempunyai prestasi keseluruhan yang paling konsisten pantas.
Untuk pengalaman bermain permainan video mudah alih saya menguji Call of Duty Mobile, Marvel SNAP dan Squid Game Unleash. Setiap permua tidak menyebabkan sebarang masalah pemanasan dan lengah masa selepas 1 jam bermain. Pada masa yang sama beberapa aplikasi penting yang saya gunakan setiap hari dikunci di latar. Sepanjang tiga minggu penggunaan dan selepas satu kemas kini sistem, ia memang adalah peranti paling pantas yang saya gunakan dari tahun 2024 sehingga ke tahun 2025.
KAMERA
OnePlus telah menemui warna sains terbaik untuk kamera mereka, iaitu Hasselblad Camera for Mobile. Ia mempunyai profil warna yang sama dengan peranti mercu Oppo Find X dan sedikit lebih terang berbanding warna pada siri premium Reno. Menjadikan penggunaan kamera peranti OnePlus ini lebih menarik berbanding vivo X Zeiss dan Xiaomi X Leica adalah OnePlus hanya memfokuskan kepada perisian sementara pesaing memfokuskan kepada teknologi lensa.
Ada baik dan buruknya di sini. Baik adalah pengoptimasian warna yang akan kekal konsisten. Mod potret, mod makro, mod malam, mod HDR dan mod-mod lain juga akan kekal cantik. Cuma, kelemahan seperti silau cahaya yang memasuki lensa jika bukan dengan teknologi lensa yang baik – membuang kesan silau dengan algoritma mungkin akan nampak semakin tidak realistik.
Di atas adalah sampel swafoto, potret, mod malam, dan gambar yang banyak warna. Profil warna kekal konsisten sejak OnePlus 11. Kemampuan fokus, kelajuan pemprosesan imej dan ciri AI semuanya hebat belaka. Cuma sayang sekali, dari segi pemeliharaan butiran dan kemampuan potret yang lebih kemas, sudah tidak kelihatan. Ini kerana pesaing melakukan iterasi terbaik seperti yang dibuktikan pada vivo X200 Pro yang bukan lagi lagi dalam dunia fantasi kerana di dunia nyata – imaginasinya lebih tinggi.
Lain-lain sampel gambar seperti di atas, jelas menunjukkan kekuatan OnePlus 13 kali ini adalah pada imej manusia. Agak mengecewakan apabila kemampuan kamera realme GT7 Pro dan iQOO 13 kelihatan lebih kemas dan memuaskan. OnePlus 13 seakan memerlukan pengguna mempunyai sedikit pengetahuan teknikal untuk mendapatkan pengalaman penggunaan kamera paling optimal.
Video
Untuk kemampuan video, OnePlus kekal dengan kemampuan EIS dan OIS terbaik. Mungkin tidak setanding Apple iPhone atau Samsung Galaxy – tetapi ia lebih baik berbanding vivo. Warna dan fokus yang bagus, tiada kesan artifak dan paling penting kualiti yang tidak dimampatkan apabila disunting atau dikongsi ke pelbagai tempat.
AUDIO, TELEFONI, 5G, GPS
Speaker stereo digunakan menyokong Dolby Atmos dan OReality Audio dengan sokongan audio spatial. Ia adalah antara speaker OnePlus yang terbaik, cukup dalam, vokal jelas, dan aras suara yang seimbang serta lantang. Sangat menarik untuk melihat speaker telefon OnePlus yang boleh digunakan sepanjang masa tanpa bergantung kepada aksesori audio.
Kualiti panggilan telefon pada peranti tidak menjadi masalah dan enak kerana ada teknologi AI untuk memastikan panggilan suara kekal jelas. Sambungan 5G dan WiFi dilihat kurang sempurna berbanding OnePlus 12. WiFi kerap terputus dan sambungan data mudah alih kerap perlahan. Penggunaan GPS walau bagaimanapun sangat pantas, malah lebih pantas berbanding Google Pixel 9 Pro XL.
BATERI DAN PENGECASAN
Penggunaan bateri dwi-sel 6000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 100W SuperVOOC dan pengecasan nirwayar pantas 50W AirVOOC adalah pilihan terbaik. Bateri peranti boleh tahan lama iaitu sehingga 9 jam SOT untuk penggunaan selama 18 jam. Kemudian, penggunaan dalam tempoh 8 jam boleh dapatkan SOT sekitar 6-7 jam.
Pengecasan berwayar boleh mengecas sehingga penuh dalam masa sekitar 30 minit, sementara secara nirwayar pula adalah sekitar 45 minit. Oxygen OS 15 turut menyertakan beberapa ciri AI untuk melindungi kesihatan bateri seperti kawalan pengecasan pantas dan memaparkan peratusan kesihatan bateri.
PERBANDINGAN DENGAN PESAING
OnePlus 13 | Realme GT7 Pro | Oppo Find X8 |
6.82” LTPO 4.1, OLED, 120Hz ProXDR, QHD+, 4500 nits, Dolby Vision, Ceramic Guard | 6.78″ LTPO OLED, 120Hz, 6000 nits, Dolby Vision, Gorilla Glass 7i | 6.59″ LTPO AMOLED 120Hz, 4500 nits, HDR10+, Corning Gorilla Glass 7i |
Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M |
Adreno 830 | Adreno 830 | Adreno 830 |
16GB LPDDR5X 12GB Maya | 12GB LPDDR5X 12GB Maya | 16GB LPDDR5X 16GB Maya |
512GB UFS 4.0 | 512GB UFS 4.0 | 512GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50MP Sony LYT-808 (Sudut Lebar), ƒ/1.6, OIS 50MP Sony LYT-600 (Telefoto), ƒ/2.65, OIS, 3x Zum Optikal. 120x Zum Digital 50MP S5KJN5 (Sudut Ultra Lebar), ƒ/2.05, EIS | Kamera Utama 50MP Sony IMX906 (Sudut Lebar), ƒ/1.8, OIS 50MP Sony IMX882 (Telefoto) ƒ/2.65, OIS 8MP Sony IMX355 (Sudut Ultra Lebar) ƒ/2.2 | Kamera Utama 50 MP, ƒ/2.0, OIS (Sudut lebar) 50 MP, ƒ/1.8 (Ultra-lebar) 50 MP, ƒ/2.6, OIS (telefoto) |
Kamera Hadapan 32 MP, ƒ/2.5 | Kamera Hadapan 16 MP, ƒ/2.45 | Kamera Hadapan 32 MP, ƒ/2.4 |
IP68/IP69 | IP68/IP69 | IP68/IP69 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
6,000 mAh Dwi-sel Berwayar 100W Nirwayar 50W | 6,500 mAh Berwayar 120W | 5,630 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W |
RM4,399 (16/512 GB) | RM3,699 (12/512 GB) | RM3,699 (12/256 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
- 1x OnePlus 13
- 1x Pin SIM
- 1x Kabel USB-A ke USB-C
- 1x Set buku panduan dan keselamatan
Menurut OnePlus, kerana arahan kerajaan Eropah yang mahukan produk lebih mesra alam semula jadi, tiada pengecas dan kerangka pelindung disertakan dalam kotak.
KESIMPULAN
OnePlus sudah lama mengecewakan peminat tetapi sejak OnePlus 11, mereka cuba menarik minat pengguna setia lama. Kini dengan OnePlus 13, ia adalah olahan semula terbaik Oppo. Menawarkan Oxygen OS yang paling sempurna, tiada aplikasi gendut, tiada halangan prestasi dan menawarkan ciri peranti mercu berguna seperti perlindungan IP69, pengecasan nirwayar, rekaan rata dengan skrin rata dan tubuh premium.
Cuma, apabila Oppo meletakkan OnePlus sebagai peranti alternatif untuk prestasi berbanding siri Find X8 dan harga jualan RM4,399 ia sedikit sukar untuk meyakinkan peminat lama. Lagi-lagi apabila Find X8 pada harga lebih murah menawarkan penggunaan kamera lebih matang. Kemudian iQOO 13 dan realme GT7 Pro dengan harga jualan hampir RM1000 lebih murah – orang ramai mungkin tidak begitu hiraukan aplikasi gendut.
Apa-apa pun, saya faham jika ini adalah permulaan semula untuk OnePlus. Strategi baharu yang Oppo rancang untuk OnePlus akan kembali menjadikan jenama ini lebih berseri dengan boleh berdikari dan bernafas dengan oksigen sendiri.
PRO
- Rekaan rata yang menawan dan premium.
- Skrin rata dengan lengkungan-mikro yang sangat dihargai.
- Oxygen OS 15 baharu yang menawan.
- Prestasi dahsyat kekal dapat dirasai.
- Perlindungan IP69 dan pengecasan nirwayar ciri bonus terbaik.
- Bateri yang tahan lama dengan pengecasan pantas.
- Kamera Hasselblad yang masih boleh diharap.
KONTRA
- Susunan bonggol kamera yang kelihatan aneh.
- Oxygen OS menyokong hanya 4+5 tahun kemas kini.
- Harga jualan yang masih tinggi berbanding pesaing.
- Kemampuan kamera tidak sehebat pesaing yang lebih murah.