Carian
Ulasan OnePlus 12 – Dah Hampir Setel!
May 10, 2024 Fahim Zahar

Selepas OnePlus 12 dilancarkan di Malaysia, ramai orang bertanya di manakah ulasan oleh media Malaysia? Jika anda adalah antara individu yang bertanya soalan ini, ini adalah artikel ulasan penuh bagi peranti ini.

Walaupun saya menerima peranti ini sedikit lewat, saya masih berpuas hati dengannya. Tahun lepas, OnePlus 11 dapat tempat ketiga untuk anugerah Peranti Terbaik Amanz 2023 – Telefon Pintar Nilai Terbaik. Bagaimanapula tahun ini? Baca ulasan penuh saya di bawah.

Baca: Ulasan – OnePlus 11 Cukup Handal Untuk Diandalkan

SPESIFIKASI DAN REKAAN

OnePlus 12
Skrin6.78″ AMOLED, 3168 x 1440 QHD+,
120Hz ProXDR, LTPO, 4500 nits,
Gorilla Glass Vistus 2
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4 nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM16GB LPDDR5X
12GB Maya
Storan512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP LYT-808, f/1.6, OIS/EIS (Sudut Lebar)
64MP, OmniVision OV64B, f/2.6, OIS/EIS, 3x + 6x zum (Persiskop Telefoto)
50MP IMX581, f/2.2, EIS (sudut ultra lebar)

Hasselblad Camera for Mobile, 4K Dolby Vision
Kamera Depan32MP, IMX615, f/2.4
Bateri5400mAh
100W SuperVOOC + 50W AirVOOC
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo Dolby Atmos
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 7, Ya, Bluetooh 5.4,
Infra MerahYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Harga JualanRM4,599 (16/512 GB)

OnePlus 12 adalah sebuah peranti lengkap dengan spesifikasi mercu yang hampir sempurna. Rekaan dan binaan yang premium dan seksi, skrin yang cantik dan menarik walaupun melengkung, kamera Hasselblad yang tidak mengecewakan, bateri yang besar dengan pengecasan pantas serta perisian Oxygen OS yang masih ada elemen pantas dan lancar yang terkenal sejak dulu.

Skrin melengkung memang nampak premium tetapi sekarang, peranti mercu haruslah menggunakan rekaan skrin rata kerana tidak mengganggu pengalaman penggunaan. Bahagian lain pada peranti ini nampak masih sama seperti OnePlus 11 dan OnePlus 12 adalah peranti generasi ketiga yang dikitar semula. Perubahan rekaan adalah sangat kecil seperti kemasan panel belakang, corak pada bonggol kamera dan kedudukan butang sahaja.

Saya masih suka rekaan OnePlus 12 tetapi tidak “mencintainya”. Peranti ini sedap dikendalikan, mudah digunakan dengan satu tangan, rasa premium dan mewah serta sepanjang penggunaan memang saya dapat pengalaman menggunakan sebuah peranti yang mahal.

Butang laras suara dan kuasa sedap ditekan, kemudian suis lungsur notifikasi turut masih menjadi kegemaran saya kerana ia sudah diperkenalkan sejak dari dahulu lagi. Bagi penggemar peranti OnePlus ciri ini sudah dianggap wajib ada.

Sistem biometri yang disertakan ialah pengimbas cap jari bawah skrin dan imbasan wajah. Ia berfungsi dengan sangat pantas dan membuatkan saya tidak terasa canggung untuk mengaktifkannya sepanjang masa.

Kekurangan mungkin adalah tiadanya jaminan kalis air IP68 yang adalah standard pada peranti mercu 2024. Di pasaran Amerika dan India peranti disenaraikan melepasi piawaian IP65 tetapi di Malaysia ia tidak dipaparkan pada laman rasmi. OnePlus mempunyai tabiat hanya menawarkan ciri tertentu di pasaran terpilih sahaja. Misalnya tahun lalu pengecasan 100W disokong di Malaysia tetapi tidak di Amerika.

SKRIN

OnePlus 12 menggunakan skrin bersaiz 6.82-inci LTPO AMOLED 120Hz. Dengan keterangan puncak sehingga 4500 nits, kandungan Dolby Vision dan HDR10+ boleh dipaparkan pada tetapan yang sepatutnya. Perlindungan skrin pula adalah dengan kaca Gorilla Glass Victus 2. Yang agak aneh hanyalah OnePlus 12R (yang lebih murah dan berspesifikasi lebih rendah) menggunakan teknologi skrin yang jauh lebih maju iaitu LTPO4 dengan sokongan menyentuh skrin ketika basah.

Dalam penggunaan saya, skrin OnePlus 12 adalah antara yang terbaik. Kandungan Netflix dan Disney+ boleh distrim pada tetapan tertinggi. Melakukan suntingan dalam Canva atau Adobe Express pula Ia sangat terang dan memuaskan. OnePlus 12 pada saya mempunyai kualiti skrin yang paling menghampiri Samsung Galaxy S24 Ultra kecuali pada bahagian mengelakkan silau pantulan cahaya.

PENGGUNAAN – OXYGEN OS 14 + ANDESGPT

Oxygen OS walaupun sudah tidak mendekati Android stok seperti dulu, ia masih mengekalkan elemen yang lancar dan panta sehingga ia diintegrasikan ke dalam Color OS untuk peranti Oppo dan Realme. Oxygen OS 14 yang digunakan pada OnePlus 12 masih kekal sama pantas, ringkas dan saya tidak menghadapi sebarang isu sepanjang tempoh ulasan sekitar 4 minggu.

OnePus 12 masih menyokong banyak ciri kustomasi yang menarik, penggunaan gambar latar AI, perubahan tema warna mengikut imej latar, ciri Always-on Display yang menarik serta masih mengekalkan banyak ciri dan fungsi dari peranti Oppo untuk menjadikan OnePlus 12 ini sedap digunakan sebagai peranti harian. Semua aplikasi yang saya gunakan setiap hari mampu beroperasi pada kadar yang lancar dan tanpa isu lengah masa.

Peranti akan menerima kemas kini sistem operasi sehingga 4 versi Android dan 5 tahun tampalan sekuriti. Ini adalah memuaskan namun Samsung dan Google telah mula menawarkan sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti pada peranti terkini mereka. Saya masih menanti bilakah pengeluar Android lain akan mengikuti jejak langkah Samsung dan Google kerana ia memastikan peranti boleh digunakan lebih lama.

Prestasi yang pantas, pengalaman yang mercu, adakah OnePlus 12 turut mempunyai ciri AI generatif seperti pesaing? Ya, OnePlus menggunakan AndesGPT sama seperti Oppo dan yang diberikan pada Oxygen OS 14 setakat ini adalah ciri AI Eraser. Berikut adalah contoh apa yang AndesGPT boleh lakukan pada OnePlus 12;

  • AI Eraser, Smart Lasso.
    • Guna alat memilih pintar untuk pilih objek sama ada ingin dibuang atau digantikan atau ingin tambah objek pada kawasan yang dipilih.
  • AI Eraser, Paint Over
    • Guna alat memilih manual untuk melakukan ciri yang sama di atas.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

OnePlus 12 adalah satu lagi peranti mercu dengan cip Snapdragon 8 Gen 3. Selepas makmal Amanz menguji banyak telefon pintar dengan cip ini, iQOO 12 adalah peranti dengan prestasi paling tinggi dan paling lancar, kemudian Xiaomi 14 Ultra, barulah ASUS ROG Phone 8, Samsung Galaxy S24 Ultra, Xiaomi 14 dan OnePlus 12 paling di bawah.

Walaupun skor penanda aras OnePlus 12 rendah, penggunaan sebenar peranti seperti yang saya katakan tadi tiada masalah langsung. Ini mungkin kerana penggunaan memori tinggi atau banyak aplikasi berjalan di latar untuk memudahkan lagi urusan pengguna. Berikut adalah perbandingan penanda aras dengan peranti pesaing menggunakan AnTuTu 3D, Geekbench 6 dan 3DMark;

Antutu 3D

  • OnePlus 12 – 1,579,634
  • Xiaomi 14 Ultra – 2,000,434
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
  • iQOO 12 – 2,075,821
  • Xiaomi 14 – 1,773,520
  • ASUS ROG Phone 8 – 1,953,486

Geekbench 6

  • OnePlus 12 – 967/5020
  • Xiaomi 14 Ultra – 2221/6632
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
  • iQOO 12 – 2181/6631
  • Xiaomi 14 – 1741/6313
  • ASUS ROG Phone 8 – 2032/6373

3D Mark Wildlife Extreme

  • OnePlus 12 – 4632/27.74 fps
  • Xiaomi 14 Ultra – 4717/28.25 fps
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 4657 / 27.89 fps
  • iQOO 12 – 5045/30.22 fps
  • Xiaomi 14 – 4499/26.94 fps
  • ASUS ROG Phone 8 – TIADA

3DMark Solar Bay

  • OnePlus 12 – 8452/32.14 fps
  • Xiaomi 14 Ultra – TIADA
  • Samsung Galaxy S24 Ultra – 8564 / 32.56 fps
  • iQOO 12 – 8528 / 32.43 fps
  • Xiaomi 14 – 7722/29.36 fps
  • ASUS ROG Phone 8 – TIADA

Bermain permua seperti Call of Duty Mobile, Marvel Snap, CarX Street dan banyak lagi turut memberikan pengalaman yang memuaskan. Apa yang saya bersyukur adalah, OnePlus bijak dalam mengendalikan penggunaan kuasa sehingga peranti tidak memanas apabila tugasan berat dilakukan.

KAMERA

Sejak tahun lepas dengan OnePlus 11 saya amat teruja dan jatuh cinta dengan kemampuan kamera Hasselblad. Tahun ini dengan OnePlus 12 pun sama, saya masih terkejut yang peranti sub-jenama yang semakin dilupakan orang ramai ini masih cantik dan hebat.

Dari mod auto dengan sensor utama 50MP, kemampuan potret yang kemas dan cantik, mod malam yang menakjubkan, sudut ultra-lebar OnePlus yang cantik sampai meleleh air liur serta kemampuan zum yang menghampiri Samsung Galaxy S24 Ultra.

Mod auto di siang hari dengan ProXDR yang nampak cantik dan penuh butiran.
Mod auto di dalam restoran dengan satu lampu memancar terus ke subjek, hasil yang menyelerakan walaupun juadah yang tidak begitu sedap.
Waktu senja dengan mod auto yang masih memelihara butiran walaupun tidak banyak cahaya.
Sistem OIS yang bagus, ambil gambar sambil berjalan tidak memberi kesan gegaran.
Sistem fokus yang pantas dan lancar, bayi bergerak pun boleh fokus dengan baik.
Mod potret yang tampak profesional seakan diambil dengan kamera mahal sebenar.
Banyak lampu LED tidak memberi kesan pantulan yang serius.
Mod malam pun masih ada kesan HDR yang baik.
Swafoto potret juga nampak kemas dan konsisten.
Hiasan di atas siling yang bergerak dan berwarna-warni ini nampak cantik dan memuaskan.
Jangan terkejut kalau ini adalah bunga di atas pokok yang bergoyang ditiup angin dan diambil dengan zum 6x.
Mod auto di kawasan gelap tiada kesan hingar.

Saya juga amat terkejut dengan kemampuan zum OnePlus 12, kerana ia mempunyai kualiti baik yang menghampiri Samsung Galaxy S24 Ultra. Sampel di bawah adalah mod 1x, 6x, 10x dan 60x – ia nampak baik dan jelas.

Video

Kualiti rakaman video juga turut tidak lagi membuatkan saya mengeluh, kenapa kamera iPhone lebih cantik di media sosial berbanding Android? Kemampuan rakaman 4K Dolby Vision, sokongan OIS, serta fokus membuatkan saya yakin dengan peranti ini sehingga vlog utama untuk Hisense bulan lepas saya gunakan OnePlus 12 100%. *Hasil di atas dirakam dengan mod 4K Dolby Vision, tetapi telah disunting untuk kecilkan saiz agar mudah ditonton.

AUDIO

Sistem speaker stereo pada OnePlus 12 dikuasakan oleh Dolby Atmos. Ia menawarkan audio yang seimbang, lantang dan setiap suara penyanyi tidak kira jantina apa cukup merdu. OnePlus turut mempunyai ciri Holo Audio yang membolehkan pengguna mendengar audio dari aplikasi berbeza secara lebih imersif. Misalnya anda sedang menonton filem di Netflix menggunakan OnePlus Buds 2 Pro, bunyi notifikasi akan berbunyi seakan ia berada di belakang pengguna atau di atas. Jika menggunakan TWS lain yang menyokong audio spatial, ia turut boleh mengaktifkan ciri ini.

BATERI DAN PENGECASAN

Bateri 5400mAh adalah antara yang besar untuk peranti OnePlus. Sepanjang hampir sebulan penggunaan, saya menerima ketahanan sehingga 7 jam SOT untuk penggunaan ringan dan sekitar 5-6 jam untuk penggunaan berat. Tempoh pengecasan 100W SuperVOOC dari 0% ke 100% juga sangat pantas, ia mengambil masa sekitar 26 minit. Jika anda memiliki AirVOOC, pengecasan nirwayar boleh dicas sehingga penuh dalam masa 55 minit.

Lebih menarik dengan OnePlus 12 ini adalah mereka meneruskan teknologi penjimatan bateri untuk menjamin kesihatan bateri yang lebih lama. Terdapat beberapa ciri AI yang mengawal kuasa pengecasan ketika tidur serta turut mempunyai ciri seakan iPhone iaitu boleh memaparkan kesihatan bateri.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

OnePlus 12iQOO 12Samsung Galaxy S24 Ultra
6.78″ AMOLED, 3168 x 1440 QHD+,
120Hz ProXDR, LTPO, 4500 nits,
Gorilla Glass Vistus 2
6.78″ AMOLED, 2800 x 1260,
144Hz, HDR10+
6.78″ IPS LCD, FHD+, 120HZ
Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)

1x 3.3 GHz Cortex-X4
3×3.2 GHz Cortex-A720
2x 3.0 GHz Cortex-A720
2×2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy (4nm)

1x 3.39 GHz Cortex-X4
3x 3.1 GHz Cortex-A720
2x 2.9 GHz Cortex-A720
2x 2.2 GHz Cortex-A520
Adreno 750Adreno 750Adreno 750
16GB LPDDR5X
12GB Maya
16GB LPDDR5X
16GB Maya
12GB LPDDR5X
512GB UFS 4.0512GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama

50MP, f/1.6, OIS Sudut Lebar
64MP, f/2.6
50MP, f/2.2
Kamera Utama

50MP, f/1.76, OIS Sudut Lebar
64MP, f/2.6
50MP, f/2.0
Kamera Utama

200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
50MP f/3.4, OIS (Telefoto 5X)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X)
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.4
Kamera Hadapan
16 MP, f/2.5
Kamera Hadapan
12 MP, f/2.2
IP65IP64IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5400 mAh (Berwayar 100W)5000 mAh (Berwayar 120W)5000 mAh (Berwayar 45W)
RM4,599 (12/512 GB)RM3,399 (16/512 GB)RM 6299 (12/256 GB)
RM 6799 (12/512 GB)
RM 7799 (12/1000 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

OnePlus sudah mula mengikut jejak langkah Apple dan Samsung, kerana OnePlus 12 tiada lagi pengecas.

  • 1x OnePlus 12
  • 1x Pin SIM
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Kad penghargaan dan set pelekat
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

OnePlus 12 tahun ini dengan harga jualan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu. Kemudiannya hanya satu model dan variasi ditawarkan pada harga RM4,599 yang adalah RM1000 lebih mahal berbanding OnePlus 11. Tetapi jika dibandingkan dengan Xiaomi 14 Ultra atau Samsung Galaxy S24 Ultra saya rasakan OnePlus masih amat kompetitif harganya.

Kemampuan kamera adalah hebat, kualiti skrin menarik (dengan Dolby Vision), perisian lancar, bateri tahan lama dan audio juga memuaskan. Saya tidak bandingkan dengan vivo X100 Pro kerana harga lebih RM4000, masih ada iklan yang dipaparkan.

Peranti ini adalah peranti mercu yang hampir sempurna. Semua kekurangan pada OnePlus 12 seperti pengecasan nirwayar telah disertakan. Ciri AI juga ada untuk suntingan gambar yang lebih menarik dan kemas kini juga diberikan selama 4+5 tahun. Jika anda ingin mencari peranti mercu dengan kamera Hasselblad yang bagus, perisian yang mudah digunakan – percayalah anda tidak akan menyesal membeli OnePlus 12 set rasmi Malaysia.

PRO

  • Kualiti skrin setanding peranti mercu yang lebih mahal.
  • Prestasi Oxygen OS dan permua yang memuaskan.
  • Kamera Hasselblad yang menakjubkan.
  • Speaker stereo yang seimbang dan enak.
  • Ciri AI Eraser oleh AndesGPT yang menarik.
  • Bateri yang tahan lama dengan pengecasan pantas.

KONTRA

  • Skrin masih melengkung.
  • Kawalan rakaman video terlampau asas.
  • Tidak banyak ciri AI seperti penawaran pesaing.
  • Tiada pengecas dalam kotak.
  • Tiada perlindungan kalis air secara rasmi di Malaysia.
Komen