Cari @ Amanz

Telefon yang murah menjadi semakin bagus, dan telefon yang bagus menjadi semakin murah. Dalam banyak-banyak telefon pintar yang telah dilancarkan pada tahun ini, yang mana satukah yang paling berbaloi untuk dimiliki? Di Amanz kami bersetuju yang nilai terbaik itu subjektif, tetapi untuk senarai Peranti Terbaik Amanz 2023 dalam kategori Telefon Pintar Nilai Terbaik – harga peranti itu haruslah lebih murah daripada gabungan ciri/fungsi hebat yang disertakan. Berikut adalah tiga pilihan kami.


Kriteria Pemilihan

  • Harga yang berbaloi dengan ciri-ciri yang disertakan.
  • Skrin sebesar 6-inci dan ke atas, 120Hz.
  • Prestasi yang baik.
  • Sokongan 5G.
  • Ciri-ciri tambahan yang meningkatkan nilai.
  • Menggunakan sekurang-kurangnya Android 13.
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Tempat Ketiga – OnePlus 11

Inilah peranti OnePlus paling berkuasa hari ini. Ia adalah iterasi yang hampir sempurna dengan skrin Dolby Vision LTPO3 120Hz yang cantik serta pantas, cip Snapdragon 8 Gen 2 dengan RAM mencapai 16GB, kamera Hasselblad yang luar biasa, ada sokongan IP64, serta pengecasan 100W yang sangat pantas. Dengan harga jualan bermula RM3299, tidak dinafikan ini adalah peranti dengan nilai terbaik tahun ini. Percayalah, siapa yang telah beli tidak akan menyesal kerana sehingga hari ini OnePlus 11 berada di dalam kocek saya.

Walaupun begitu, OnePlus 11 tewas dengan dua peranti keluaran China lain. Dalam senarai ini, OnePlus adalah yang paling mahal tetapi jika anda melihat dua lagi peranti di bawah dengan harga jualannya serta spesifikasi yang ditawarkan anda pasti akan terkejut. OnePlus berpotensi menjadi tempat pertama jika harga jualannya telah turun secara rasmi.

Spesifikasi: 6.7” Fluid AMOLED LTPO3 (1440 x 3216) HDR10+, Dolby Vision, 120Hz, Snapdragon 8 Gen 2 4nm (1x 3.2 GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3x 2.0 GHz Cortex-A510), 16GB RAM, storan 256GB, 50MP (Utama) + 32MP (Telefoto 2x zum) + 48MP (Sudut Ultra Lebar), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (100W), IP64, OxygenOS 14 Android 14.

Harga: RM3,299 (8/128 GB)


Tempat Kedua – Poco F5

Siapa sangka Poco F5 berjaya masuk tempat kedua. #BaikBeliPoco masih menjadi sehingga tahun ini dan Poco F5 ini adalah peranti yang sangat berbaloi untuk anda miliki. Ia hadir dengan rekaan rata yang moden, skrin AMOLED 120Hz Dolby Vision yang menawan, dijana cip Snapdragon 7+ Gen 1 yang cukup berkuasa, kamera 64MP yang cantik serta perlindungan IP53 yang layak dipuji.

Peranti ini menarik perhatian kami di Amanz kerana bukan sahaja menawarkan spesifikasi hebat, tetapi masih menyertakan bicu audio 3.5mm menambahkan nilai baik untuk memiliki peranti ini. Harga jualan yang boleh didapatkan bermula kurang RM1400, serta akan menjadi model terawal menerima kemas kini HyperOS – Poco F5 layak berada di dalam kocek anda.

Spesifikasi: 6.67” AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, Snapdragon 7+ Gen 1 4nm (1x 2.91 GHz Cortex-A710 + 3x 2.49 GHz Cortex-A710 + 4x 1.8 GHz Cortex-A510), 12GB RAM, storan 256GB, 64MP (sudut lebar) + 8MP (sudut ultra lebar) + 2MP (makro), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (67W), IP53, MIUI For Poco Android 13

Harga: Bermula RM1,395 (8/256 GB)


Juara – Xiaomi 13T

Xiaomi tahun ini benar-benar memikat hati kami. Pertama sekali mereka membawa masuk kesemua Xiaomi 13, Xiaomi 13 Pro dan Xiaomi 13 Ultra. Peranti kamera Leica Xiaomi pertama di Malaysia. Ketiga-tiga peranti ini memang menakjubkan dan tidak cukup dengan itu, Xiaomi 13T pula ditawarkan. Selepas menggunakannya, kami di Amanz bersetuju yang peranti ini adalah juara Telefon Pintar Nilai Terbaik 2023. Peranti ini menawarkan kamera Leica pada harga mampu milik, mempunyai perlindungan IP68, skrin Dolby Vision 144Hz, kemas kini 4+5 tahun dan rekaan yang premium.

Bayangkan, sebuah kamera Leica siri Q atau siri M mencecah sehingga RM29,000 dan RM46,000. Iterasi yang Xiaomi bawakan iaitu fokus kepada potret dan fotografi jalanan pada harga bermula RM1799 adalah penawaran yang tidak masuk akal. Xiaomi 13T adalah peranti dengan pakej lengkap untuk mereka yang baru ingin berjinak dengan fotografi profesional. Cip Dimensity 8200-Ultra yang mempunyai prestasi setanding peranti mercu premium menjadikan Xiaomi 13T layak sebagai juara nilai terbaik.

Spesifikasi: 6.67” AMOLED 144Hz, Dolby Vision, Dimensity 8200-Ultra 4nm (1x Cortex-A78 + 3.1GHz + 3x Cortex-A78, 3.0GHz + 4x Cortex-A55, 2.0GHz), 12GB RAM, storan 256GB, 50MP (sudut lebar) + 50MP (telefoto 2x zum) + 12MP (sudut ultra lebar), 20MP (swafoto), 5000 mAh (67W), IP68, MIUI 14 Android 13.

Harga: RM1,799 (8/256 GB)


Dengan senarai selesai sudah rangkuman Telefon Pintar Nilai Terbaik Amanz 2023. Semoga artikel ini akan membantu para pembaca sekalian untuk membeli telefon pintar tidak akan menyesal untuk dimiliki dalam jangka masa yang panjang. Jumpa anda semula di tahun 2024 tahun hadapan yang kami percaya akan ada lebih banyak telefon pintar yang pasti akan membawakan nilai terbaik dan paling berbaloi untuk dimiliki.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd