Carian
Peranti Terbaik Amanz 2023 – Kelas Pertengahan Premium
December 27, 2023 Amy Maizuraa

Sudah menjadi kebiasaan buat kami di Amanz untuk berkongsi senarai peranti terbaik sepanjang tahun, dan kali ini diteruskan pula dengan segmen peranti kelas pertengahan premium. Pemilihan ini melibatkan beberapa kriteria menarik khususnya harga memadai dengan ciri diberikan. Berikut senarai penuh peranti berserta spesifikasi untuk kesemua yang terpilih.


Kriteria Pemilihan

  • Skrin dengan kadar segar semula tinggi.
  • Prestasi memuaskan dengan cip kelas pertengahan.
  • Nilai terbaik untuk harga ditawarkan.
  • Menggunakan sekurang-kurangnya Android 13.
  • Dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada tahun 2023.

Tempat Ketiga – Vivo V29 5G

Tahun ini kami masukkan Vivo V29 5G dalam senarai peranti kelas pertengahan premium terbaik. Kamera peranti ini memberi hasil memuaskan untuk sebahagian besar situasi. Sebagai nilai tambah terdapat juga ciri aura light terbina yang memudahkan anda menangkap gambar dalam gelap. Binaan yang nipis dan ringan juga amatlah memudahkan anda untuk membawanya kemana-mana sahaja.

Ciri menarik perhatian lain termasuklah skrin 6.78″ AMOLED peranti ini menyokong kadar segar semula 120Hz. Dengan cip Snapdragon 778G pula walaupun agak berusia prestasi masih mantap. Kemudian bateri peranti boleh dicas dengan pantas melalui sistem pengecasan 80W. Tetapi sayang tiadanya piawaian kalis air menjadi salah satu titik kelemahan paling ketara pada peranti.

Spesifikasi: 6.78” AMOLED FHD+ 120Hz, Qualcomm Snapdragon 778G (1 X 2.4 GHz Cortex-A78 & 3 X 2.2 GHz Cortex-A78 & 4 X 1.9 GHz Cortex-A55), Adreno 642L, 8GB RAM, storan sehingga 512GB, 50+2+8MP (Utama), 50MP (Swafoto), 4600 mAh (33W), Android 13.

Harga: RM1,799 (8/128GB) / RM1,899 (12/256GB)

Ulasan penuh : Vivo V29 5G – Kamera Dan Rekaan Jadi Taruhan


Tempat Kedua – OnePlus Nord 3 5G

OnePlus Nord 3 5G juga antara peranti pertengahan premium terbaik yang dikeluarkan pada tahun ini. Dilengkapi cip Dimensity 9000 yang berkuasa menjadikan peranti tampil cemerlang dalam aspek prestasi. Jika anda merasakan 16GB masih tidak cukup, ciri RAM Expansion boleh menambah sehingga 12GB lagi RAM secara maya. Jadi peranti ini boleh mempunyai sehingga 28GB RAM keseluruhannya.

Selain itu anda juga boleh memanfaatkan paparan Fluid AMOLED 6.74″ 120Hz yang mengagumkan, sistem kamera dengan kemampuan cukup baik dan kalis air IP54 yang bermakna ia tahan percikan tapi tak boleh dibawa menyelam. Tapi sekurang-kurangnya lebih baik ada daripada tiada langsung kan? Salah satu kelemahan ketara pula ialah bateri. Kapasiti 5,000mAh kedengaran cukup besar tapi sayang hayat bateri kurang memberangsangkan. Walau bagaimanapun kekurangan ini diubati oleh pengecasan pantas 80W yang cukup pantas.

Spesifikasi: 6.74” Fluid AMOLED FHD+ 120Hz, Mediatek Dimensity 9000 (4 nm) (1×3.05 GHz Cortex-X2 & 3×2.85 GHz Cortex-A710 & 4×1.80 GHz Cortex-A510), Mali-G710 MC10, 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 50+2+8MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5,000 mAh (80W), Android 13.

Harga: RM 2,199 (16/256GB)

Ulasan penuh : OnePlus Nord 3 5G – Peranti RAM 28GB Tiada Kompromi


Juara – Nothing Phone (2)

Juara bagi kategori ini ialah Nothing Phone (2). Boleh kami kata pakej yang diberi adalah berbaloi bermula dari rekaan, spesifikasi sehingga harga jualan. Seperti contoh kemasan lutsinar dengan gabungan lampu LED Glyph di bahagian belakang berjaya mencipta gaya yang menarik. Turut menjadi tarikan adalah ciri Glyph Composer untuk anda menyesuaikan nada dering sendiri sepadan dengan kerlipan lampu di belakang.

Spesifikasi dalaman disertakan juga cukup baik dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 walaupun sudah agak berusia masih lagi lancar dan berkebolehan. Kemudian skrin OLED 120Hz dalam mod LTPO yang menjimatkan bateri, kebolehan kamera sesuai untuk kegunaan fotografi kasual dan perisian Nothing OS 2 juga lancar dengan pelbagai ciri tambahan menarik. Kalau diikutkan harga jualan juga muhasabah dengan ciri yang diberi itu bermula RM1799 sebuah.

Spesifikasi: 6.7” LTPO OLED FHD+ 120Hz, Snapdragon 8+ Gen 1 (4 nm) (1 X 3.0 GHz Cortex-X2 & 3 X 2.5 GHz Cortex-A710 & 4 X 1.80 GHz Cortex-A510), Adreno 730, 8GB RAM, storan sehingga 256GB, 50+50MP (Utama), 32MP (Swafoto), 4700 mAh (45W), Android 13.

Harga: RM 2,999 (12/256GB)

Ulasan penuh : Nothing Phone (2) – Peranti Lampu Lip Lap Yang Mantap


Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik Amanz untuk segmen kelas pertengahan premium pada tahun 2023. Untuk peranti lain dalam segmen bawah RM1000, mercu dan nilai terbaik pula boleh dibaca menerusi pautan yang disediakan di bawah.

Komen