Cari @ Amanz

Jika anda rasakan peranti mercu vivo mahal, iQOO adalah alternatif terbaik kerana jenama ini merupakan “Poco” kepada vivo. Peranti terbaru mereka adalah iQOO 12 iaitu telefon pintar pertama dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 serta yang menjalankan Android 14 terus keluar dari kotak.

Saya telah menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu dan memang benar, cip Snapdragon 8 Gen 3 amat memikat hati. Dalam artikel ini akan saya kongsikan pendapat saya dan menjawab kenapa anda patut memiliki iQOO 12.


SPESIFIKASI

iQOO 12
Skrin6.78″ AMOLED 144Hz, 2800 x 1260
HDR10+, 1400 nits
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 (4nm)
Cip1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM16GB LPDDR5X
16GB Extended RAM (Memori Maya)
Muatan Dalaman512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.68, OIS (Sudut Lebar)
64MP f/2.57, OIS, 3x Zum Optikal (Telefoto Periskop)
50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Swafoto16 MP f/2.5
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Pemancar IRYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP64
Sistem ImbasanPengimbas cap jari bawah skrin
Wajah
Harga JualanRM3399
16/512 GB

REKAAN

Skrin peranti ini bersaiz 6.78-inci daripada panel AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 144Hz, paparan HDR10+, kecerahan mencapai 1400 nits dan menggunakan rekaan bezel hampir sekata. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 masih lagi menggunakan binaan 4nm dan bukannya 3nm. Konfigurasi cip ini adalah 1x 3.3 GHz Cortex-X4 + 5x 3.2 GHz Cortex-A720 + 2x 2.3 GHz Cortex-A520 dan dipadankan dengan GPU Adreno 750. iQOO 12 turut dilengkapi dengan memori LPDDR5X sebesar 16GB RAM dan storan dalaman 512GB UFS 4.0.

Panel belakang peranti ini kelihatan biasa sahaja dengan warna putih berkilat yang agak licin dengan logo BMW dan mempunyai bonggol kamera gergasi. Sekali pandang, bonggol ini kelihatan seperti Xiaomi 13 tetapi setiap bucunya yang lebih melengkung. Bonggol ini memuatkan sensor 50MP, OIS f/1.7 sudut lebar + 64MP, OIS f/2.6 periskop telefoto 3x zum optikal + 50MP f/2.0 sudut ultra lebar dan kamera swafoto 16MP.

iQOO 12 menggunakan rekaan yang rata pada skrin dan setiap sisi peranti. Ia menggunakan bingkai aluminium dengan kemasan yang licin. Ia mudah dikendalikan dengan satu tangan, mungkin sedikit licin tetapi tiada masalah selepas beberapa hari penggunaan. Peranti agak selesa di dalam tangan, cuma keadaan melintang ketika bermain permua speaker akan terhalang. Sungguhpun begitu iQOO 12 membawakan banyak elemen rekaan yang premium yang pasti menarik perhatian orang ramai.

Di atas peranti terdapat sensor infra merah, lubang mikrofon kemudian di sisi kiri adalah butang laras suara dengan butang kuasa. Tiada apa-apa di sebelah kanan dan di bawah adalah lubang mikrofon, port USB-C dan kekisi speaker. Warna Legend ini sedikit mudah calar jika bingkai terkena kunci kereta, jadi disarankan untuk menggunakan kerangka pelindung.

SKRIN

Skrin 6.78-inci AMOLED 144Hz, beresolusi 2800 x 1260 serta menyokong paparan HDR10+ adalah antara yang terbaik dalam industri pernah saya gunakan. Skrinnya terang, warna yang menyerlah, kecerahan yang baik, sangat lancar dan pantas pada setiap sentuhan dan warna hitam juga benar-benar hitam OLED. Menonton video di Netflix, Prime Video, YouTube atau juga Disney+ memberikan pengalaman yang memuaskan. Setiap aplikasi mampu memainkan video berkualiti tanpa sebarang masalah.

Kekurangan pada skrin ini pada saya adalah tiada sokongan LTPO. Ini bermakna penggunaan skrin dengan kadar segar semula tinggi akan memakan kuasa yang banyak sehingga ketahanan bateri terkesan. Penggunaan mod auto membantu sedikit cuma kerap aplikasi media sosial menjadi 60Hz. Cip tambahan Supercomputing Chip Q1, turut antara yang membantu menjadikan skrin iQOO 12 antara yang terbaik. Jika saya ada video tersendiri yang kurang berkualiti, mainkan pada aplikasi VLC misalnya – sistem peranti boleh menjadikan video saya tadi lebih cantik daripada biasa.

SISTEM BIOMETRI

Di China, iQOO 12 Pro menggunakan pengimbas cap jari ultrasonik – tetapi pada iQOO 12 ia terhad dengan sensor optikal sahaja. Bukan yang terpantas yang pernah saya cuba tetapi sekadar membantu memberi sekuriti tambahan untuk pembayaran Google Wallet, akses kepada WhatsApp atau aplikasi perbankan. Terdapat juga sistem imbasan waja tetapi suasana gelap akan menjadikan ia tidak konsisten kerana tiada pengimbas infra merah seperti Face ID pada iPhone.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – FUNTOUCH OS 14, ANDROID 14

Dalam banyak-banyak peranti vivo yang menjalankan Funtouch OS, iQOO 12 adalah yang terbaik kerana langsung tiada iklan. Laporan Hot Games serta Hot Apps yang dibuang itu masih tiada pada peranti saya ketika hari pertama penggunaan tetapi sepatutnya tersedia dalam kemas kini pertama selepas anda membeli peranti. Tetapi dalam tempoh penggunaan beberapa minggu ini, saya telah menerima kemas kini perisian baharu yang menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini lebih menarik.

Funtouch OS 14 berasaskan Android 14 adalah sistem operasi yang digunakan pada peranti ini. Ia sangat menarik untuk digunakan dengan beberapa tetapan mirip Android stok di Nothing OS 2.5. Jika sebelum ini sala mengadu yang Funtouch OS tidak mempunyai tetapan teratur, kali ini berbeza kerana ia lebih kemas dan memudahkan lagi saya untuk melakukan pelbagai perubahan pada sistem.

Walaupun vivo cuba mengekalkan elemen Android stok, Funtouch OS 14 jelas sekali cuba membuang DNA Google pada rekaan sistem operasi ini. Pertama adalah Google Photos tidak boleh menggunakan ciri Magic Eraser atau beberapa arahan untuk Google Assistant tidak mesra pada peranti ini berbanding peranti Android 14 lain.

Sokongan memori maya sehingga 16GB menjadikan jumlah memori peranti ini mencecah 32GB yang amatlah melampau. Ia serba sedikit membantu prestasi peranti lebih-lebih lagi pengurusan memori untuk aplikasi di latar belakang. Funtouch OS 14 adalah sistem operasi yang pada saya mudah untuk digunakan kerana cuba menjadi Android stok tetapi dengan membuang banyak elemen Google pada peranti ini ia adalah satu langkah bahaya yang iQOO perlu hati-hati.

Pengeluar lain telah mula menggunakan aplikasi Google Phone dan Google Messages, tetapi vivo dan iQOO masih ingin menggunakan versi tersendiri. Funtouch OS 14 memerlukan sedikit lagi sentuhan kemas kini untuk memastikan ia menarik perhatian ramai pengguna global.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – SNAPDRAGON 8 GEN 3

Snapdragon 8 Gen 3 adalah cip dengan konfigurasi 1x 3.3 GHz Cortex-X4 + 5x 3.2 GHz Cortex-A720 + 2x 2.3 GHz Cortex-A520 yang dipadankan dengan GPU Adreno 750. Untuk memori ia, unit yang saya uji ini menggunakan 16GB RAM LPDDR5X + 16GB Extended RAM (tidak boleh diubahsuai) serta storan dalaman UFS 4.0 bersaiz 512GB. Selepas menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu, saya mendapat Monster Mode menjadikan peranti ini raksasa untuk menjalankan permua.

Sepanjang beberapa minggu penggunaan, setiap permua yang saya uji adalah lancar dan tiada lengah masa ketika sesi permainan. Asphalt 9 mantap, Marvel Snap hebat, Monopoly Go memuaskan dan Silent Hill Ascension juga memberikan pengalaman yang terbaik. Saya turut sempat menguji War Thunder Mobile yang menyokong grafik Ray Tracing. Kualiti grafik permua peranti ini benar-benar menarik tetapi pengalaman bermain agak bosan kerana ia perlahan. Masalah pemanasan pun tidak berlaku kerana peranti setakat menjadi suam-suam sahaja.

Untuk markah penanda aras, saya menggunakan AnTuTu 3D, Geekbench 6 dan 3DMark sahaja. Berbanding markah pada peranti yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 2, iQOO 12 dengan Snapdragon 8 Gen 3 ini mempunyai skor yang sangat tinggi dan berada di luar jangkaan saya. iQOO 12 mempunyai prestasi menghampiri prototaip yang kami uji di Hawaii tempoh hari. Anda boleh lihat perbandingan di bawah;

AnTuTu 3D

  • iQOO 12 – 2,075,821
  • iPhone 15 Pro Max – 1,523,961
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,488,776
  • Xiaomi 13T Pro – 1,431,444

Geekbench 6

  • iQOO 12 – 2181/6631
  • iPhone 15 Pro Max – 2873/7228
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 1991/5221
  • Xiaomi 13T Pro – 1284/3520

3DMark Wild Life Extreme

  • iQOO 12 – 30.22 FPS
  • iPhone 15 Pro Max – 22.1 FPS
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 23.03 FPS
  • Xiaomi 13T Pro – N/A

3DMark Solar Bay

  • iQOO 12 – 8528 / 32.43FPS
  • iPhone 15 Pro Max – 4943 / 18.8FPS
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 5628 / 21.4FPS
  • Xiaomi 13T Pro – N/A

TELEFONI DAN GPS

Seperti yang saya jangkakan, kualiti sambungan Internet pada iQOO 12 adalah sangat baik. WiFi semuanya stabil dan lancar walaupun saya berada di bilik hujung, 4G atau 5G turut menerima isyarat yang stabil dan mampu memberikan akses Internet yang pantas serta kualiti panggilan telefon yang elok. GPS untuk perjalanan jauh seperti saya memandu dari Kuala Lumpur ke Johor turut membantu. Waze mengambil masa yang sedikit perlahan untuk mengunci lokasi berbanding Google Maps, tetapi lain-lain daripada itu semuanya baik sekali.

KAMERA

Kalau ulasan iQOO 11 kami memberikan markah kamera 8/10, dan dalam artikel pandang pertama saya katakan iQOO 12 ini ada potensi untuk menerima markah 9/10, ternyata benar. Hari demi hari saya menggunakan peranti ini semakin jatuh hati saya kepada jenama iQOO dan vivo. Ia memberi harapan untuk vivo X100 mempunyai kemampuan fotografi lebih baik.

Konfigurasi kamera 50+64+50 Megapixel dengan kamera swafoto 16 Megapixel adalah pilihan bijak. Hasil gambar yang sangat baik kerana mampu memelihara butiran dengan baik tidak kira keadaan cahaya yang terang atau suasana yang gelap. Warna juga cukup menyerlah dengan HDR yang memuaskan. Fokus kamera sahaja yang saya rasakan kurang konsisten.

Sudut ultra lebar 50MP
Mod auto 50MP
Mod malam
Mod auto
Zum 5x
Zum 10x, malam

Zum optikal 3x peranti ini membuktikan yang peranti mercu mampu milik turut boleh menjadi teropong kerana zum yang baik ini turut dapat dinikmati pada tetapan 5x dan 10x. Sudut ultra lebar turut mempunyai warna yang menawan dan mod potret peranti ini yang pelbagai.

Mod auto
Mod auto
Zum 10x
Mod malam
Mod potret, swafoto malam

AUDIO

Telefon pintar ini turut mempunyai kualiti speaker yang berkualiti. Sistem stereo yang seimbang, dentuman bass yang agak dahsyat kerana mempunyai impak yang kuat dan audio dikeluarkan menjadi sangat rancak. Mendengar muzik akan rasa selesa, bermain permua akan berada dalam dunia imersif dan menonton video pasti akan terus leka.

BATERI

Saya telah menguji dua kaedah penggunaan, satu 144Hz + 2800 x 1260 dan juga mod FHD+ dengan kadar segar semula auto. Yang pertama memberikan ketahanan sekitar 5 jam SOT sementara yang kedua lebih 7 jam SOT dengan aktiviti yang sama.

Saya yang sudah bertahun bekerja dalam industri ini boleh nampak dengan jelas dan pantas beza kualiti skrin mod ini tetapi untuk penggunaan harian ia sebenarnya boleh diterima dan tugasan anda tetap akan selesai kerana perubahan yang sangat kecil sahaja. iQOO 12 boleh dicas dari 0% ke 100% sekitar 30 minit sahaja dengan 3 saat selepas palam kuasa dihidupkan peranti akan terus hidup.

PESAING

iQOO 12OnePlus 12Xiaomi 14
6.78″ AMOLED, 2800 x 1260,
144Hz, HDR10+
6.7″ AMOLED, 1440 x 3168,
120Hz LTPO, HDR10+ Dolby Vision
6.36″ AMOLED, 1200 x 2670, 120Hz LTPO,
HDR10+ Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm)
1x 3.3 GHz Cortex-X4
5x 3.2 GHz Cortex-A720
2x 2.3 GHz Cortex-A520
Adreno 750Adreno 750Adreno 750
16GB LPDDR5X
16GB Maya
24GB LPDDR5X16GB LPDDR5X
512GB UFS 4.01 TB UFS 4.01TB UFS 4.0
Kamera Utama
50MP f/1.76 OIS (Sudut Lebar)
64MP f/2.6 OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto)
50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
64MP f/2.6, OIS, 3x zum optikal (Periskop Telefoto)
48MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.0, OIS, 3.2x zum optikal (Telefoto)
50MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Hadapan
16-MP f/2.5
Kamera Hadapan
32-MP f/2.4
Kamera Hadapan
32-MP
IP64IP65IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 120W)5400 mAh (Berwayar 100W)4620 mAh (Berwayar 90W)
RM 3,399
16/512 GB
RMB 5,799 (~RM3,783)
24/1000 GB
CNY 4,999 (~RM3,268)
16/1000 GB

APA ADA DALAM KOTAK?

Sedikit berbeza dengan iQOO 12 pasaran luar negara yang hadir dengan kerangka BMW berwarna putih, di Malaysia hanya ada;

  • 1x iQOO 12 berwarna Legend.
  • 1x kabel USB-C ke USB-C,
  • 1x Pengecas 120W.
  • 1x Kerangka pelindung silikon.
  • 1x Kad BMW.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Set buku keselamatan dan jaminan.

KESIMPULAN

Jika anda masih menggunakan peranti Snapdragon 8 Gen 1 (bukan 8+ Gen 1) dan ke bawah, iQOO 12 adalah satu peranti naik taraf yang bagus. Skrin yang menawan, prestasi yang mengejutkan, kamera yang cantik, rekaan yang premium, bateri yang bagus, perisian yang semakin mesra pengguna – peranti ini menawarkan pakej serba lengkap untuk sebuah peranti mercu. iQOO 12 adalah pencabar baharu untuk peranti mercu paling berbaloi untuk dimiliki dan mungkin menjadi pesaing sengit kepada OnePlus, Xiaomi dan Poco. iQOO 12 adalah peranti yang patut anda beli dan cuba.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Skrin yang cantik, pantas dan hebat.
  • Prestasi yang menakjubkan.
  • Kamera yang hebat dan memuaskan.
  • Speaker yang berkualiti.
  • Bateri yang tahan lama dengan pengecasan yang sangat pantas.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Funtouch OS 14 banyak kehilangan elemen “Google”.
  • Bukan skrin LTPO.
  • USB-C masih 2.0 bukan 3.2.
  • Tiada perlindungan IP68.
  • Pengimbas cap jari yang sedikit perlahan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd